suria

Polis bongkar kafe siber jalankan perjudian melalui internet

KUANTAN: Polis Pahang berjaya membongkar kegiatan perjudian melalui internet yang dipercayai dijalankan di sebalik perniagaan kafe siber berlesen dalam empat serbuan berasingan yang dilakukan di sekitar bandar Kuantan sejak beberapa hari lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan ASP Mohd Jasmani Yusoff berkata serbuan yang dilakukan antara 9 dan 13 Okt lepas itu melibatkan kawasan Air Putih, Jalan Beserah dan kawasan perindustrian Gebeng di sini hasil maklumat awam.

Beliau berkata hasil serbuan itu, polis menahan 12 individu termasuk pelanggan dan pemilik premis selain merampas lapan komputer yang dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian.

"Serbuan yang diketuai Cif Inspektor Padhlillah Che Harun ini mendapati kesemua premis kafe siber ini mempunyai lesen yang sah namun pemilik premis terbabit dipercayai menyalahgunakan lesen perniagaan dengan menawarkan permainan berunsurkan perjudian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Kesemua lelaki yang ditahan dalam serbuan antara 9 malam hingga 12.30 tengah malam itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 30an dan mereka kini ditahan di IPD Kuantan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)B Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mohd Jasmani berkata polis akan menjalankan operasi dari masa ke masa bagi mengesan pengusaha siber cafe yang menyalahgunakan lesen untuk tujuan perjudian di sekitar daerah Kuantan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain