suria

PM Ketua Wanita Gerakan perlu diberi peluang jelas kenyataan

KUALA LUMPUR Perdana Menteri berkata, Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe perlu diberi peluang untuk menjelaskan kenyataan beliau bahawa "semua bangsa di negara ini bukan penduduk asal" agar semua pihak faham apa sebenar yang dimaksudkan beliau.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kontroversi yang timbul berikutan kenyataan Timbalan Menteri Penerangan itu ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Gerakan Jumaat lalu tidak membantu keadaan.

Katanya Barisan Nasional belum lagi mengambil sebarang keputusan melibatkan Tan itu dan ia akan dibincangkan pada mesyuaratnya akan datang.

Bercakap dengan pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjuran Biro Tata Negara hari ini, Abdullah berkata: "Kita telah beberapa memperingkatkan jangan main sentimen perkauman hanya untuk tegakkan kekuatan dan populariti kita. Ini bukan caranya."

Menurut Abdullah, setelah 50 tahun negara merdeka, sudah sampai masanya pemimpin politik menghindar daripada membangkitkan isu-isu perkauman semata-mata untuk menguatkan kedudukan politik masing-masing.

Tan dilaporkan mempersoalkan kedudukan bangsa Melayu sebagai peribumi dan sebaliknya berkata semua bangsa adalah pendatang dengan "orang Melayu datang dari kepulauan Melayu di Nusantara, orang Cina dari negara China dan orang India dari negara India".

Kenyataan Tan itu telah menimbulkan kontroversi dan kemarahan beberapa pihak, sehingga ada antara pemimpin Melayu yang mahu beliau dipecat dari kerajaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain