suria

Perompak larikan barang kemas bernilai lebih RM800000

KUALA LUMPUR: Sebuah kedai emas kerugian lebih RM800,000 apabila seorang lelaki memecah masuk dan melarikan barangan kemas dari kedai itu yang terletak di dalam sebuah emporium di Jalan Masjid India di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata suspek dipercayai masuk dengan memecahkan tingkap tandas lelaki di dalam emporium berkenaan pada kira-kira pukul 2.30 pagi.

"Rakaman kamera litar tertutup (cctv) di dalam premis itu menunjukkan suspek menutup mukanya dengan tuala dan membawa bersama sebuah beg biru," katanya.

Lelaki itu mulanya memecah masuk sebuah kedai di tingkat satu dan mengambil wang tunai RM3,500 dari mesin juruwang sebelum ke kedai emas di tingkat bawah dan mengambil kesemua barang kemas di dalam laci yang tidak berkunci, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur di sini hari ini.

"Suspek memecahkan kunci pintu kedai emas berkenaan dan mengambil semua barang kemas dari laci yang tidak berkunci, yang mana jumlah barang kemas itu dianggarkan bernilai RM819,000," katanya.

"Dua pengawal yang berkawal di luar bangunan menyedari kejadian itu apabila loceng kecemasan berbunyi, tetapi tidak boleh masuk disebabkan pintu bangunan yang berkunci," kata Muhammad Sabtu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain