suria

Peniaga wajar turunkan harga barangan PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, peniaga-peniaga wajar menurunkan harga barang keperluan selaras dengan penurunan harga minyak semalam.

Perdana Menteri juga mencadangkan rakyat menggunakan kuasa beli mereka untuk memaksa peniaga dan pengeluar agar menurunkan harga barangan berikutan penurunan harga petrol.

Kata beliau, peniaga sepatutnya menurunkan harga barangan keperluan secara sukarela tanpa menunggu kerajaan bertindak.

"Itu adalah tanggungjawab sosial mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Program Semangat Merdeka 2008 dan perasmian Akademi Kenegaraan di Biro Tata Negara di Jalan Bellamy di sini.

Semalam, kerajaan mengumumkan penurunan harga minyak sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter bagi petrol dan 20 sen kepada RM2.20 seliter bagi diesel yang berkuat kuasa hari ini.

Katanya, apabila kerajaan mengambil keputusan menurunkan lagi harga petrol semalam, salah satu fakta yang diberi perhatian ialah agar harga barangan juga akan turun.

Beliau yang jelas kesal dengan keengganan pengeluar dan peniaga menurunkan harga barangan berkata, kuasa pembeli sangat kuat dan mereka patut menggunakan kuasa itu tidak membeli barangan yang mahal harganya.

Selain pengguna, kata Abdullah, persatuan-persatuan pengguna juga patut menggunakan pengaruh mereka untuk mendesak pengeluar dan peniaga agar menurunkan harga barangan.

"Sepatutnya harga barang turun ikut penurunan harga petrol. Mereka patut lebih bertanggungjawab.

"Persatuan pengguna dan pengguna sendiri pun sama-sama memainkan peranan masing-masing dan tidak sentiasa mengharapkan kerajaan," katanya.

Kerajaan, tegas Abdullah, tidak boleh menggalakkan rakyat memboikot sesuatu barangan, tetapi pengguna sendiri sepatutnya pandai menggunakan kuasa yang ada ditangan mereka kerana jika mereka terus membeli barangan yang mahal harganya, pengeluar dan peniaga tidak nampak keperluan untuk menurunkan harga barangan mereka.

Beliau berkata, pengguna dan persatuan pengguna tidak sepatutnya mengharapkan kerajaan untuk melakukan segala-galanya termasuk memastikan harga barangan turun sedangkan kuasa adalah ditangan mereka dengan mengelak daripada membeli apabila harga sesuatu barangan itu mahal.

"Mereka tidak mengambil apa-apa tindakan dan ini adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

"Jika persatuan pengguna ini mahu kerajaan mengawasi harga barang keperluan, maka mereka perlu bekerjasama dengan pihak kerajaan.

"Ini adalah tanggungjawab bersama. Kita semua perlu perihatin terhadap masalah ini," tegasnya lagi sambil menambah, beliau telah mengarahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad agar memanggil semua persatuan pengguna untuk berbincang mencari strategi yang berkesan untuk mengekang kenaikan harga barang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain