suria

Peguam tuntut ganti rugi dari CIMB RM10 juta kerana memfitnah

KUALA TERENGGANU: Seorang peguam di sini akan memfailkan saman terhadap CIMB Bank Berhad jika gagal memenuhi tiga tuntutan termasuk ganti rugi RM10 juta melalui satu notis yang dihantar Isnin lepas kerana didakwa memfitnah, merosak nama baik serta kredibilitinya dalam satu laporan polis pada 24 Sept lepas.

Wan Zainuddin Wan Musa berkata notis berhubung tuntutan itu yang dihantar kepada bank itu di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur juga menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam daripada tarikh notis itu disampaikan tanpa sebarang syarat.

Selain menuntut RM10 juta itu dibayar dalam tempoh 48 jam daripada tarikh notis itu disampaikan, beliau turut menuntut permohonan maaf itu disiarkan melalui media-media cetak dan elektronik utama di negara ini.

Katanya sehingga kini tiada sebarang jawapan yang diterima.

Jika pihak bank berkenaan gagal untuk melaksanakan tuntutannnya, beliau akan menfailkan saman berhubung perkara itu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dalam jangka masa terdekat, katanya.

Tuntutan itu dibuat kerana dalam laporan polis, bank itu telah menuduhnya melakukan satu pencerobohan jenayah dan bertindak menyalahi undang-undang ketika melakukan proses pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan terhadap harta bank itu di Jalan Sultan Ismail di sini pada 15 Sept lalu, katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

"Ekoran dengan pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan itu, pihak bank tidak berpuas hati dan telah membuat laporan polis ke atas saya selaku peguam cara plaintif. Dalam laporan itu, pihak bank telah menuduh saya membuat pencerobohan jenayah di bank itu dan memfitnah saya melakukan salah guna proses perintah mahkamah.

"Disebabkan laporan itu, saya telah dihubungi dan disoal siasat oleh seorang pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman pada malam 27 Sept lepas dan hasil soal siasat, pegawai itu memutuskan tiada kertas siasatan akan dibuka untuk kes berkenaan," katanya.

Wan Zainuddin berkata, akibat laporan mengandungi fitnah, dakwaan dan tuduhan yang juga telah disiarkan media massa itu, beliau mendakwa telah dipandang serong oleh masyarakat seolah-olah telah menjalankan tugas tanpa perintah mahkamah yang sah sehingga menjejaskan kewibawaannya sebagai seorang peguam kanan yang telah menjalankan amalan guaman selama 15 tahun di negara ini.

Pada 15 Sept lepas, Wan Zainuddin melalui firma guamannya yang mewakili sebuah syarikat kontraktor bumiputera di Kota Bharu Kelantan telah melakukan proses inventori penyitaan terhadap kesemua aset CIMB Bank Wilayah Timur di Jalan Sultan Ismail di sini ekoran kegagalan bank itu menjelaskan tuntutan saman ganti rugi RM15.6 juta kepada syarikat berkenaan.

Ia berikutan kegagalan CIMB Bank Kota Baharu memenuhi perjanjian bagi pinjaman RM11 juta yang dibuat dengan Syarikat Zima Properties Sdn Bhd pada Mac tahun 2005 bagi membangunkan satu projek perumahan di Pasir Mas, Kelantan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain