suria

Pasangan suami isteri mati akibat disembelih

KOTA BAHARU: Pasangan suami isteri rakyat Thailand yang dibunuh dengan kejam semalam disahkan mati akibat disembelih di leher, kata polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata punca kematian itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Krai, yang selesai pada pukul 4 pagi ini.

"Hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian leher akibat disembelih," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, sepasang suami isteri rakyat Thailand yang bekerja sebagai penoreh getah, ditemui mati dibunuh dalam satu kejadian di sebuah rumah kongsi di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Peria, Bukit Chengal, Kuala Krai kirakira pukul 6.30 pagi.

Mayat Anuar Dahman, 27, ditemui dalam tong plastik setinggi satu meter yang berisi air manakala mayat isterinya yang hanya dikenali sebagai Asmah, 18, dibuang ke dalam perigi berhampiran kawasan itu.

Abdul Rahim berkata polis Kelantan kini bekerjasama dengan polis Thailand bagi mengesan suspek utama kes pembunuhan itu.

Beliau berkata keluarga keduadua mangsa juga telah dimaklumkan dan mayat pasangan itu akan dituntut keluarga masing-masing petang ini.

"Mangsa akan dibawa pulang ke tempat asal mereka di Thailand dan akan dikebumikan di sana," katanya.

Abdul Rahim berkata motif kejadian masih disiasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai itu tampil untuk membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain