suria

Konstabel dipenjara 10 tahun kerana sebabkan kematian penunggang motosikal

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang konstabel polis trafik setelah didapati bersalah menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal enam tahun lepas.

Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee memerintahkan Mohd Izwan Sahak, 26, menjalani hukuman itu bermula tarikh tangkap 5 Jun 2002.

Mohd Izwan yang berada di kandang tertuduh menangis teresak-esak selepas prosiding berakhir hingga anggota keluarga terpaksa menenangkannya.

Dia yang bertugas di Balai Polis Petaling Jaya, didakwa melakukan kesalahan itu ke atas Ramli Othman, 25, seorang pekerja kilang, di Kilometer 20.8, Puchong, di sini pada pukul 1 tengah hari, 26 Mei 2002.

Mohd Izwan didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes itu mula dibicarakan pada 8 Dis 2003 dan pada peringkat awalnya Mohd Izwan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan tetapi Mohamed Ideres kemudiannya meminda pertuduhan kepada Seksyen 304(b) pada 16 Oct 2006 ketika membuat keputusan diakhir kes pendakwaan.

Ketika itu, Mohd Izwan masih mengekalkan pengakuannya kepada tidak bersalah.

Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan memanggil 13 orang saksi manakala pihak pembela hanya memanggil Mohd Izwan seorang sahaja.

Ketika rayuan, Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Bagaimanapun, peguam Zaidan Ali yang mewakili tertuduh merayu supaya mahkamah tidak menjatuhkan hukuman maksimum kepada tertuduh dan mengambil kira faktor keadaan ketika kejadian dan siapakah yang lebih agresif ketika itu (sama ada mangsa ataupun tertuduh).

Beliau juga memohon mahkamah menolak permohonan Awang Armadajaya supaya hukuman dijatuhkan bermula dari hari ini kerana hukuman sebegitu hanya untuk mereka yang telah dijamin sedangkan anak guamnya telah berada di penjara selama enam tahun. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain