suria

Persaingan MCA kali ini lebih tenang

PETALING JAYA: Persaingan pemilihan MCA bagi jawatan tertinggi dalam parti pada kali ini dilihat berjalan dalam suasana yang tenang dan baik.

Pakar sejarah dan pemerhati politik, Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata, suasana pemilihan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu jauh lebih tenang jika dibandingkan dengan pemilihan Gerakan.

"Keadaan dalaman MCA lebih baik dan teratur berbanding dengan Gerakan.

"Walaupun Gerakan sering menyuarakan mengenai integrasi dalam parti, tapi perkara tersebut sebenarnya tidak berlaku," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Tambah beliau ahli akar umbi MCA dilihat banyak memberikan sokongan yang baik kepada pemimpin mereka.

Mengulas mengenai keputusan pada hari penamaan calon MCA hari ini yang memberi kemenangan tanpa bertanding kepada Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Datin Paduka Chew Mei Fun bagi jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita, beliau berkata perkara itu adalah bukti bahawa ahli-ahli memberikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi.

"Saya nampak pemimpin-pemimpin MCA mendapat sokongan majoriti daripada ahli-ahlinya walaupun sebelum ini timbul beberapa tuduhan yang cuba mengaibkan sesetengah pemimpin," katanya.

Beliau berkata sokongan padu ini menunjukkan satu perkembangan yang sihat kepada perkembangan MCA itu sendiri dan secara tidak langsung ia merupakan petanda baik kepada BN.

"Pemilihan kali ini bakal memberi perubahan kepada MCA dan BN terutamanya selepas pilihan raya umum yang lalu," katanya.

Dalam pada itu, Khoo juga meramalkan bagi jawatan Presiden yang menyaksikan persaingan dua penjuru antara Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Kiat dan pemimpin veteran Datuk Chua Jui Meng bakal memberi kemenangan kepada Tee Kiat.

"Kalau ikut perkembangan pada akhir-akhir ini saya rasa Tee Kiat akan menang dengan mudah.

"Ini kerana Jui Meng adalah pemimpin veteran, jadi pemimpin muda mungkin akan mendapat tempat," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau keputusan untuk memilih calon Presiden yang paling layak terletak kepada ahli akar umbi.

Namun katanya, sejauh mana para pemimpin yang bakal dipilih nanti mampu untuk memberi sumbangan positif kepada parti sukar diramalkan.

"Selepas mereka menang, kita kurang pasti apa perubahan yang bakal dibuat kerana orang politik ini 'nakal'.

"Saya katakan mereka 'nakal' kerana ada antara mereka ada yang suka untuk menimbulkan kekecohan dalam parti," katanya.

Jelasnya disebabkan unsur-unsur sedemikian ia dapat membantutkan perkembangan parti untuk terus relevan.

Artikel Berikut

Artikel Lain