suria

Pelan peralihan Ketua Wanita Umno perlu dibuat lebih awal

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kalabakan, Sabah hari ini mahu peralihan kuasa bagi jawatan Ketua Wanita di peringkat nasional dilaksanakan lebih awal bagi memperkukuh pergerakan itu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Wanita Umno bahagian Kalabakan Datuk Hamisa Samat berkata ia perlu dilaksanakan pada Mac dan bukan Jun 2009 bagi membolehkan Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil diberi kuasa penuh menerajui pergerakan itu.

Hamisa berkata demikian sebagai mengulas kenapa beberapa bahagian di Sabah mencalonkan Shahrizat sebagai ketua wanita semasa mesyuarat perwakilan masingmasing barubaru ini dengan membelakangkan persetujuan yang dicapai oleh pucuk pimpinan pergerakan itu.

Bahagian-bahagian tersebut adalah wanita bahagian Kalabakan sendiri, Sepanggar, Kinabatangan dan Kota Belud.

Sehingga hari ini, Shahrizat menerima 12 pencalonan sebagai ketua daripada bahagian Wanita yang bermesyuarat, berbanding Rafidah iaitu 52 pencalonan.

Dalam satu kenyataannya Hamisa berkata, adalah suatu yang janggal jika Shahrizat terpaksa memangku jawatan ketua selepas peralihan kuasa yang dijadualkan pada Jun 2009 itu, memandangkan mesyuarat agung bagi pemilihan akan datang cuma diadakan pada tahun 2011.

Keadaan itu akan turut meletakkan seolaholah pergerakan wanita UMNO tidak mempunyai ketua dalam tempoh yang agak panjang termasuk untuk persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Pergerakan Wanita sepatutnya telah mempunyai seorang ketua yang baru pada pemilihan Mac tahun depan dan bukannya menunggu sehingga tahun 2011 dengan meletakkan Shahrizat sebagai pemangku sahaja.

"Apa yang disuarakan ini bukan kita menolak kredibiliti dan kepimpinan berkesan (Ketua Wanita UMNO Tan Sri) Rafidah (Aziz) tetapi kita melihat daripada sudut kekuatan dan masa depan parti itu sendiri," katanya.

Hamisa berkata, semua pihak perlu kembali mendengar suara di peringkat akar umbi yang turut mahukan perubahan kepada pergerakan Wanita.

"Pelan peralihan jawatan antara Rafidah dan Shahrizat yang dijadualkan pada Jun 2009 sudah tidak sesuai dalam usaha memperkuatkan parti. Kita tidak mahu Shahrizat hanya memangku jawatan ketua, sebaliknya diberi kuasa penuh.

"Dengan kuasa penuh, beliau boleh menyusun pergerakan Wanita dengan lebih lancar dan berkesan bagi meneruskan pencapaian kepimpinan semasa di bawah Rafidah," katanya.

Rafidah yang telah memutuskan untuk bertanding pada Mac depan dan hanya akan menyerahkan kuasa kepada Shahrizat pada Jun 2009, telah menafikan yang beliau ingin mempercepatkan proses peralihan kuasa tersebut semalam dan berkata akan mengikut rancangan yang telah dipersetujui oleh kedua-duanya dan Wanita Umno.

Shahrizat telahpun memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai rancangan untuk menentang Rafidah bagi jawatan tertinggi sayap itu dan akan bertanding untuk mempertahankan jawatan naib ketua pada pemilihan Mac nanti. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain