suria

Najib tolak syor Anwar bentang semula Bajet 2009

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kerajaan membuat pembentangan semula Bajet 2009 bukan cadangan yang sesuai dipertimbangkan dalam menangani krisis kewangan semasa.

Menteri Kewangan itu berkata, yang penting ialah kerajaan memastikan perbelanjaan kerajaan dapat dijalankan tanpa gangguan, dan segala program untuk membantu rakyat miskin dan berpendapatan rendah seperti yang terkandung dalam Bajet 2009, dapat dilaksanakan mengikut jadual.

"Ini termasuk usaha kita untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial yang telah dicadangkan.

"Kira-kira 150,000 rakyat miskin dan berpendapatan rendah akan mendapat manfaat hasil program ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Anwar meminta Kementerian Kewangan membentangkan bajet baru atau membuat pindaan terhadap belanjawan asal, sebelum ia dibahaskan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Menteri Kewangan (Ogos), tidak lagi relevan susulan krisis kewangan dunia yang turut dihadapi Malaysia.

"Walaupun situasinya serius, namun kita tidak perlu panik. Kita tidak seburuk seperti banyak negara lain, namun ia akan memberi impak kepada ekonomi kita," kata Najib.

Beliau berkata, bajet wajar diteruskan kerana ia meliputi langkahlangkah yang sangat positif dalam membantu rakyat.

"Perbelanjaan kerajaan perlu dibelanjakan oleh pelbagai kementerian dan agensi supaya kita dapat penggunaan dalam negeri dan pertumbuhan domestik, jika tidak, ekonomi akan teruk terjejas," katanya.

Najib berkata, kerajaan kini memantau rapi keadaan kerana situasi berubah setiap hari.

Ditanya bila beliau menjangkakan semakan pertama bajet, Najib berkata: "Bila kami fikir ia sesuai untuk menyemak angka tahun depan."

Mengenai sama ada Malaysia menimbang mengurangkan kadar faedah, beliau berkata: "Dasar saya ialah menyerahkannya kepada bank pusat."

Mengenai sama ada kerajaan wajar menjamin deposit bank, Najib berkata: "Terdapat pro dan kontra mengenainya, jika kita beri jaminan, rakyat akan menterjemahkannya sebagai sesuatu yang serius."

"Pada masa ini, terdapat mudah tunai yang mencukupi dalam sistem perbankan dan tidak perlu beruat demikian ketika ini. Saya berpendapat pendeposit tidak perlu bimbang terhadap simpanan mereka dalam bank," kata Najib. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain