suria

Lawatan BNBBC ke Taiwan tidak guna wang rakyat bawa hasil

KUALA LUMPUR: Pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Seri Tiong King Sing hari ini mencabar Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) untuk membuat dakwaannya di luar Parlimen yang lawatan sambil belajar 49 anggota Parlimen BN ke Taiwan pada September lalu menggunakan wang rakyat.

Beliau yang bangun memintas Lim yang sedang membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2009 pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini berkata: "Datuk Yang Dipertua saya cabar dia (Lim) cakap di luar sana kalau berani kita pergi Taiwan guna duit rakyat."

Lim sebaik memulakan perbahasannya mendakwa rombongan BN itu menggunakan wang rakyat, dan lawatan itu tidak membuahkan sebarang hasil.

Tiong (BN-Bintulu) turut berkata: "Kalau tiada hasil kenapa Pakatan Rakyat cari kita sampai Taiwan buat apa."

Datuk Dr. Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang turut serta dalam rombongan itu turut bangun dan menjelaskan bahawa dakwaan Lim itu tidak betul.

"Apa yang dikatakan Yang Berhormat Ipoh Timur seolah-olah lawatan ke Taiwan itu tidak bawa hasil, kami adakan beberapa program yang banyak beri hasil.

"Kami tidak guna wang rakyat, janganlah bawa perkara yang tidak betul," katanya.

Persidangan dewan disambung esok. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain