suria

Khaled Jangan jadikan usia kriteria pemilihan

PUTRAJAYA: Perwakilan pada mesyuarat peringkat bahagian disaran tidak menjadikan faktor usia sebagai kriteria utama untuk pencalonan bagi jawatan Naib Presiden Umno, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Norden.

Apa yang lebih penting ialah pengalaman, kemampuan,idea dan keyakinan calon itu dalam memperjuangkan kepentingan parti, katanya mengulas mengenai lima calon teratas bagi jawatan Naib Presiden yang rata-ratanya di bawah usia 60 tahun berbanding mereka yang 60 tahun ke atas, seolaholah perwakilan bahagian menolak calon lebih berusia.

"Itu hanyalah secara kebetulan sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dialog Industri 2008 di sini, hari ini.

Beliau berkata tidak kira sama ada usia calon itu di bawah 40 tahun atau lebih tetapi jika pengalaman, keazaman dan keyakinan calon itu dapat memberi sumbangan yang besar pada kekuatan parti ia tidak menjadi satu kesalahan.

"Sebab itu kita lihat ada bahagian yang mencalonkan kombinasi usia calon yang pelbagai," katanya.

Khaled yang turut dicalonkan bagi merebut jawatan Naib Presiden, setakat ini menerima 10 pencalonan.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sudah pun layak bertanding dengan memperolehi 25 pencalonan diikuti Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan 15 pencalonan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 12 pencalonan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar (enam pencalonan), Menteri Luar Datuk Seri Rais Yatim (lima pencalonan) dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Samad (empat pencalonan). BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain