suria

Umno Cheras Kaji semula sistem kuota penentu calon

KUALA LUMPUR: Umno Bahagian Cheras berharap sistem kuota yang diguna pakai sekarang bagi pemilihan calon untuk bertanding jawatan dalam parti dapat dikaji semula.

Ketuanya, Senator Datuk Wira Syed Ali Al Habshi berkata, Timbalan Presiden parti Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak sebagai orang yang akan mengambil alih kepimpinan parti harus memandang serius kehendak anggota parti di peringkat akar umbi supaya sistem kuota itu dikaji semula.

"Kita berharap, isu kuota ini akan dijadikan agenda penting untuk dibincangkan oleh Najib apabila mengambilalih pucuk pimpinan parti Mac tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Cheras di sini hari ini.

Syed Ali berkata, sustem kuota sudah tidak sesuai lagi diamalkan kerana ia menyekat ramai anggota yang bersemangat untuk bertanding dan berkhidmat kepada parti tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tidak cukup pencalonan.

Perlembagaan parti menetapkan mereka yang hendak bertanding jawatan Presiden mesti mendapat 30 peratus pencalonan daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara manakala Timbalan Presiden (20 peratus), Naib Presiden (10 peratus) dan ahli MT sebanyak lima peratus.

Semasa berucap, Syed Ali mengumumkan penubuhan sebuah tabung untuk membeli peralatan bagi masjid dan surau seluruh negara yang menghadapi masalah kelengkapan perlu termasuk sistem pembesar suara yang lebih berkualiti dan berharap akan mendapat perhatian semua bahagian Umno.

Katanya tabung itu juga bertujuan membantu akhbar harian Utusan Malaysia yang disaman RM30 juta oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kerana didakwa sengaja menyiarkan berita yang menjatuhkan reputasi beliau sebagai wakil rakyat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain