suria

Sarjan dipenjara 12 bulan dan didenda RM25000 kerana terima rasuah

PETALING JAYA:Seorang sarjan dipenjara 12 bulan dan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima rasuah RM5,000 daripada seorang ejen jualan langsung, lima tahun lalu.

Hakim Nurmala Salim memerintahkan Abd Aziz Saad, 46, menjalani hukuman itu bermula hari ini, dan disambung penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Nurmala dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abd Aziz dan keterangan daripada saksi pembelaan hanya berbentuk penafian semata-mata.

Abd Aziz, didakwa menerima rasuah RM5,000 daripada Yap Kian Vun bagi membebaskan empat pekerjanya yang terlibat dalam kes penipuan di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya Selatan, Seri Kembangan.

Beliau diwakili peguam bela Dr Radzuan Ibrahim dan didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan didenda RM10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi. Dalam rayuannya, Radzuan memohon kepada mahkamah untuk meringankan hukuman ke atas anak guamnya kerana ia digantung kerja sejak 2004 dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan sehingga kini.

Radzuan berkata, anak guamnya yang mempunyai empat orang anak telah berkhidmat dengan Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya Selatan selama 27 tahun, dan ini merupakan kesalahan pertama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Simti, memohon agar Abd Aziz dikenakan hukuman yang berat kerana ia adalah kesalahan yang serius melibatkan integriti polis.

Abd Aziz telah diperintah membela diri pada 22 Nov 2006, dengan wang jaminan RM5,000.

Dia membayar denda tersebutBERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain