suria

Rogol pelajar Ustaz terpaksa meringkuk dalam penjara sekali lagi

PUTRAJAYA:Seorang ustaz terpaksa meringkuk dalam penjara sekali lagi apabila Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan yang diputuskan Mahkamah Sesyen ke atasnya kerana merogol seorang pelajar perempuan bawah umur kira-kira 13 tahun lepas.

Pada Ogos tahun lepas, Ishak Shaari selesai menjalani hukuman penjara dua tahun setelah didapati bersalah mencabul pelajar Tingkatan Dua.

Hakim Datuk Md Raus Shariff yang bersidang bersama HakimHakim Datuk Hasan Lah dan Datuk Sulong Matjeraie sebulat suara mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang membebaskan Ishak daripada tuduhan merogol pelajar itu.

Dalam keputusannya, beliau berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kejadian rogol telah berlaku dan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Hakim Md Raus memerintahkan supaya hukuman penjara terhadap Ishak, yang kelihatan tenang apabila mendengar keputusan itu bermula dari hari ini.

Ishak yang kini berumur 44 tahun dihantar ke Penjara Kajang. Peguam Karpal Singh yang mewakili Ishak berkata di luar mahkamah, beliau akan membuat semakan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan yang diberikan Mahkamah Rayuan itu.

Pada 27 Jan 2000, Mahkamah Sesyen Seremban menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan terhadap Ishak setelah didapati bersalah di akhir kes pembelaan merogol pelajar perempuan yang ketika itu beumur 14 tahun lima bulan di bilik kaunseling, di sebuah sekolah menengah di Tampin, Negeri Sembilan, pada 4 Julai 1995, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Mahkamah Tinggi Seremban pada 26 Jan 2005, telah membenarkan rayuan Ishak dan melepaskan dan membebaskan Ishak daripada tuduhan itu. Pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati kemudiannya merayu di Mahkamah Rayuan.

Ini merupakan kali kedua Ishak meringkuk dalam penjara.

Pada 12 April tahun lepas, Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan hukuman penjara empat tahun dan empat sebatan terhadap Ishak kerana mencabul seorang pelajar perempuan kira-kira 12 tahun lepas.

Mahkamah itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengurangkan tempoh penjara kepada dua tahun tanpa sebatan.

Pada 28 Jan, 2004, Mahkamah Majistret Melaka mendapati Ishak bersalah dan dihukum penjara empat tahun dan empat sebatan setelah didapati bersalah mencabul pelajar Tingkatan Dua di sebuah rumah di Taman Sebang Baru, Pulau Sebang, Alor Gajah, pada 2 petang, 28 Jun, 1995. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain