suria

PM jelaskan cadangan berhubung keanggotaan terus dengan BN

KUALA LUMPUR:Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahamd Badawi hari ini menjelaskan beliau tidak pernah mencadangkan semua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) dibubarkan dan digantikan dengan sebuah parti pelbagai kaum.

Sebaliknya, Abdullah berkata beliau hanya mencadangkan supaya BN mencari jalan untuk memasukkan sekumpulan rakyat Malaysia yang mahu menyertai parti itu tanpa menganggotai mana-mana parti komponen berasaskan perkauman.

"Saya tidak pernah mencadangkan parti-parti komponen dibubarkan. Apa yang saya cadangkan ialah bahawa kita mesti memenuhi keperluan sesetengah orang yang mahu menjadi sekutu BN, mereka suka berinteraksi dengan BN dan berasa bahawa ia benar-benar parti berbilang kaum.

"Jadi, respons saya mengenainya ialah dengan memberi mereka peluang menjadi ahli terus BN. Kita wujudkan forum, kelab, cawangan atau apa saja kita boleh namakannya, jadi ada parti komponen dan ada kumpulan baru ini," kata Abdullah.

Perdana Menteri mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pada Sabtu yang dilaporkan sebagai berkata sebarang cadangan untuk menjadikan BN satu parti pelbagai kaum ibarat seperti membubarkan Umno yang selama ini menjadi tunjang kepada kekuatan kerajaan memerintah.

Menjelaskan lebih lanjut, Presiden Umno itu berkata anggota kumpulan itu akan menyediakan BN dengan pandangan mereka, sebagai rakyat Malaysia, mengenai pelbagai isu dan bukan berdasarkan bangsa mereka.

"Boleh anda bayangkan sebagai contoh, seseorang daripada parti Cina seperti MCA atau Gerakan akan berdiri dan bercakap mengenai perspektif masyarakat mereka, dan dari satu kumpulan itu berkata saya berasal dari masyarakat itu tetapi pendirian saya begini," katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, ia juga menyediakan satu platform kepada parti-parti komponen untuk menjelaskan kepada kumpulan itu mengenai sempadan mereka dan had semasa mewakili kepentingan setiap masyarakat.

"Kumpulan ini juga akan menyediakan kita satu pendekatan baru, pemikiran baru, dan membawa perhatian kita kepada sebahagian daripada keperluan pelbagai kaum yang kita mungkin tidak sedari. Jadi, saya fikir ianya adalah baik," katanya.

Bagaimanapun, Abdullah berkata beliau tidak nampak BN sebagai satu-satunya parti pelbagai kaum dalam masa terdekat walaupun banyak perubahan berlaku dalam parti itu sejak kebelakangan ini.

Katanya ini berikutan wujudnya nilai-nilai perbezaan sesebuah masyarakat yang menuntut supaya mereka dihormati dan difahami di antara satu sama lain. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain