suria

Petisyen ditarik balik kerusi KulimBandar Baharu kekal PKR

PETALING JAYA: Kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu kekal milik calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Barisan Nasional (BN) hari ini menarik balik petisyen pilihan raya yang kemukakan April lalu.

Mahkamah Tinggi Alor Star hari ini menolak petisyen tersebut selepas BN memohon untuk menarik balik petisyen berkenaan.

Kerusi itu dimenangi oleh calon PKR, Zulkifli Nordin.

Pada 27 April lepas, bekas calon BN bagi kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Mohd Hafarizam Harun memfailkan petisyen memohon keputusan pilihan raya umum 8 Mac lepas bagi kerusi itu diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah.

"Saya telah berbincang dengan pucuk pimpinan BN dan diarahkan supaya tidak meneruskan petisyen tersebut atas beberapa faktor termasuk ekonomi negara," katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Tinggi Alor Star selepas menarik balik kes itu.

Mengikut jadual asal, petisyen itu sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi Alor Star pada 3 Jun lepas, bagaimanapun tarikh tersebut telah ditunda beberapa kali.

Alasan yang dikemukakan oleh Abdul Aziz semasa membuat tuntutan petisyen itu ialah Zulkifli gagal mengemukakan penyata perbelanjaan beliau pada pilihan raya umum itu yang dilihat sebagai melanggar Akta Pilihan Raya.

Abdul Aziz berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira faktor ketidakstabilan ekonomi dunia dan kenaikan harga barang akibat harga minyak yang tidak menentu, rakyat yang semakin terhimpit dan pelbagai beban lain yang perlu diberi perhatian.

"Demi kepentingan penduduk Kulim-Bandar Baharu dan negara, saya bersedia berkorban melepaskan hak saya untuk mencabar kememangan calon PKR," kata Abdul Aziz.

Jelasnya beliau percaya keputusan yang diambilnya membuktikan kerajaan BN sentiasa meletakan kepentingan dan perpaduan rakyat serta kestabilan politik negara berbanding dengan pembangkang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain