suria

Najib dahului pencalonan Presiden Timbalan jadi tumpuan 3 calon

PETALING JAYA: Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin terus berada dalam kedudukan kukuh untuk muncul sebagai calon Presiden dan Timbalan Presiden Umno dengan memperoleh jumlah pencalonan selesa.

Berdasarkan keputusan yang diterima sehingga pukul 9 malam tadi, Najib yang merupakan Timbalan Presiden Umno kekal sebagai calon tunggal untuk jawatan Presiden dengan 28 pencalonan.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang turut menawarkan diri untuk bertanding kerusi Presiden belum menerima sebarang pencalonan.

Najib yang memerlukan minimun 58 pencalonan, dicalonkan oleh Kimanis, Machang, Besut, Pagoh, Parit Buntar, Kalabakan, Kuantan, Bagan Serai, Cheras, Beruas, Kampar, Bukit Gelugor, Tasik Gelugor, Rasah, Taiping, Jempol, Jelebu, Mersing, Pasir Gudang, Rompin, Bagan Datoh, Batu Pahat, Kota Kinabalu, Shah Alam, Kota Melaka, Semporna, Subang dan Pontian.

Muhyiddin, Naib Presiden Umno, mendapat 23 pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden.

Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam memperoleh tiga pencalonan manakala Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib menerima satu pencalonan.

Pencalonan Ali diperoleh daripada Parit Buntar, Kota Kinabalu dan Kota Melaka manakala Beruas dan Subang menyumbangkan kepada Muhammad.

Sebanyak 28 bahagian telah pun mengadakan persidangan perwakilan masing-masing sejak Khamis lalu.

Persaingan bagi tiga jawatan Naib Presiden Umno meningkat kepada 10 calon dengan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendahului dengan 25 pencalonan diikuti Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan 14 pencalonan.

Hishammuddin, kini Ketua Pemuda Umno, telah melepasi had kelayakan untuk kerusi Naib Presiden.

Beliau merupakan satu-satunya pemimpin telah melayakkan diri bertanding kerusi Naib Presiden yang kini kosong selepas dua penyandang kerusi itu - Muhyiddin dan Ali mahu menyaingi jawatan Timbalan Presiden.

Turut menerima pencalonan bagi jawatan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (13); Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (sembilan); Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar (enam); Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (lima); bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim (tiga) dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hasan (dua).

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (empat); Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa (satu) dan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (dua).

Isa merupakan Naib Presiden paling tinggi mendapat undi dalam pemilihan 2004. Bagaimanapun kemenangan beliau terbatal dengan hukuman gantung keanggotaan selama tiga tahun.

Bahagian yang mencalonkan Hishammuddin ialah Pagoh, Besut, Kimanis, Machang, Kalabakan, Kuantan, Kampar, Bukit Gelugor, Tasek Gelugor, Rasah, Taiping, Mersing, Cheras, Pasir Gudang, Rompin, Batu Pahat, Jempol, Jelebu, Kota Kinabalu, Shah Alam, Kota Melaka, Semporna, Subang, Pontian dan Beruas.

Zahid menerima pencalonan daripada Parit Buntar, Bagan Serai, Beruas, Bukit Gelugor, Taiping, Mersing, Pasir Gudang, Bagan Datoh, Kota Kinabalu, Shah Alam. Kota Melaka, Subang dan Pontian.

Pencalonan bagi Rais pula diterima daripada Pagoh, Kimanis, Cheras, Jelebu dan Semporna; Syed Hamid (Parit Buntar, Kimanis, Kalabakan, Bagan Serai, Taiping dan Kota Melaka); Khaled (Besut, Machang, Bagan Serai, Cheras, Pasir Gudang, Bagan Datoh, Batu Pahat, Shah Alam, Beruas); Shafie (Pagoh, Besut, Kalabakan, Kampar, Tasek Gelugor, Mersing, Rompin, Bagan Datoh, Batu Pahat, Jelebu, Kota Kinabalu, Semporna, Subang dan Pontian).

Isa mendapat pencalonan Parit Buntar, Kampar, Rasah dan Jempol; Annuar daripada Machang; Jamaluddin (Kuantan dan Rompin), Shahidan (Kuantan), Bukit Gelugor dan Tasek Gelugor; Mohamad (Rasah dan Jempol).

Hujung minggu ini, sejumlah 41 lagi bahagian Umno dijadual mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing, dengan kebanyakan mesyuarat bertumpu pada hujung minggu mulai Jumaat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain