suria

Mukhriz Razali Rafidah Shahrizat lepasi had layak bertanding

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir menjadi calon pertama layak bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno apabila berjaya melepasi kuota minimum kelayakan untuk bertanding jawatan berkenaan setelah mengumpul 40 pencalonan daripada 72 bahagian yang bermesyuarat sejak Khamis lalu.

Jumlah minimum pencalonan untuk bertanding jawatan berkenaan ialah 38 dan Naib Ketua Pemuda pula sebanyak 29 pencalonan.

Mukhriz yang juga Exco Pemuda memperoleh pencalonan daripada Bahagian Jerlun, Besut, Kimanis, Alor Star, Cameron Highlands, Kota Melaka, Tasek Gelugor, Bukit Gelugor, Teluk Intan, Pagoh, Pasir Gudang, Kalabakan, Langkawi, Kuantan, Rasah, Jelebu, Jempol, Ipoh Barat, Lipis, Bentong, Tenggara, Padang Rengas, Subang, Kampar, Kota Belud, Tuaran, Permatang Pauh, Bagan ,Pokok Sena, Batu Pahat, Padang Serai,Setiawangsa, Simpang Renggam, Kulai, Tebrau, Bakri, Sepanggar, Beaufort, Gombak dan Kuala Selangor.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula memperoleh 19 pencalonan daripada bahagian Machang, Pengkalan Chepa, Ketereh, Silam, Bandar Tun Razak, Bagan Datoh, Beruas, Bachok, Raub, Rompin, Bagan Serai, Gelang Patah, Pontian, Parit Buntar, Kota Kinabalu, Johor Baharu, Bayan Baru, Keningau dan Sepang.

Turut tercalon merebut jawatan yang sama adalah bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang mendapat 12 pencalonan keseluruhannya manakala Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin mendapat satu pencalonan dari bahagian Padang Besar. Mohamad Khir mendapat sokongan daripada Tumpat, Kapar, Cheras, Taiping, Masjid Tanah, Mersing, Shah Alam, Hulu Langat, Kuala Langat, Nibong Tebal, Kinabatangan dan Sungai Siput.

Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda, anggota Parlimen Muar, Razali Ibrahim kini layak bertanding jawatan itu setelah memperoleh 35 pencalonan manakala pesaingnya Exco Pemuda Datuk Reezal Merican Naina Merican juga layak selepas memperoleh 30 pencalonan.

Calon lain yang turut tersenarai bagi jawatan Naib Ketua Pemuda ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu Bahrul Razha Chuprat (dua pencalonan), Ketua Pemuda Umno bahagian Bagan Marzuki Yahaya dan Ketua Pemuda Umno bahagian Kapar Faizal Abdullah, masingmasing dengan memperoleh satu pencalonan.

Penyandang jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz menambah 11 pencalonan lagi untuk mempertahankan jawatan itu, dengan jumlah keseluruhan 52 pencalonan, melebihi kuota kelayakan bertanding jawatan itu.

Biarpun sebelum ini beliau pernah menyatakan pendirian untuk tidak bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tetap menerima pencalonan daripada 13 bahagian, pertambahan lima pencalonan dari bahagian Kota Belud, Permatang Pauh, Setiawangsa, Sepang dan Sepanggar semalam.

Dalam persaingan merebut jawatan Naib Ketua Wanita, Shahrizat telah mengumpul sebanyak 52 pencalonan, melebihi had kelayakan minimum membolehkannya bertanding jawatan berkenaan.

Kuota kelayakan minimum bagi melayakkan seseorang calon bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita adalah sebanyak 38 pencalonan manakala Naib Ketua pula adalah sebanyak 29 pencalonan.

Bagi jawatan Naib Ketua pergerakan itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Kamilia Ibrahim menambah empat pencalonan semalam iaitu dari bahagian Kota Belud, Setiawangsa, Sepang dan Sepanggar semalam menjadikannya tujuh pencalonan secara keseluruhan.

Ketua Wanita Umno Johor, Datuk Halimah Sadique mengumpul dua pencalonan manakala Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said mengumpul empat pencalonan bagi jawatan Naib Ketua wanita.

Bagi jawatan Ketua Puteri Umno, persaingan sengit berlaku antara Ketua Penerangan Puteri Datuk Shahniza Shamsuddin dan Naib Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang masing-masing memperoleh 32 dan 28 pencalonan sehingga semalam selepas 82 bahagian mengadakan mesyuarat di seluruh negara.

Anggota Exco Puteri Datin Ismalina Ismail turut meletakkan diri dalam senarai calon Ketua Puteri dengan mengumpul 12 pencalonan manakala Setiausaha pergerakan itu Bibi Sharliza Mohd Khalid (enam) dan Ketua Puteri Umno Pulau Pinang Azlina Mehtab Mohd Ishaq (empat).

Semalam, Shahaniza mendapat tujuh pencalonan baru dari bahagian Tapah, Jerantut, Beufort, Kinabatangan, Setiawangsa, Ledang dan Labis, manakala Rosnah memperoleh empat pencalonan dari Pekan, Sepanggar, Batu Sapi dan Padang Besar.

Empat pencalonan diterima Ismalina iaitu dari bahagian Merbok, Tebrau, Sepang dan Kulai, Azlina mendapat tiga pencalonan dari Permatang Pauh, Kepala Batas dan Nibong Tebal manakala Bibi Sharliza pula tidak menerima sebarang pencalonan baru semalam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain