suria

Kes Altantuya PM yakin Najib tidak salah guna kuasa

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menolak laporan yang disiarkan dalam laman web Malaysia Today mengenai penyalahgunaan kuasa oleh Timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Saya tak percaya beliau terlibat dalam soal penyalahgunaan kuasa," kata beliau.

Beliau mengulas mengenai laporan laman web itu yang menyebut Najib menggunakan kuasanya bagi mencampuri siasatan kes pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu.

Laporan Malaysia Todayitu menyiarkan dakwaan hubungan mesej teks melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) antara Timbalan Perdana Menteri itu dengan peguam Datuk Shafee Abdullah yang mewakili Abdul Razak Baginda.

Laporan itu juga menyebut dengan jelas bahawa Najib mencampuri siasatan pihak polis bagi menyelamatkan Abdul Razak.

Sebaliknya Abdullah percaya bakal penggantinya itu akan menjadi seorang pemimpin dan Perdana Menteri yang baik serta mampu menunjukkan kepimpinan yang mantap.

"Saya percaya beliau tidak akan salah gunakan kuasanya, kalau tidak bagaimana beliau nak jadi pengganti saya," katanya.

Pengendali laman web tersebut kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menghadapi kes di bawah Akta Hasutan.

Dalam pada itu Presiden Umno itu juga melahirkan rasa gembira dengan keputusan yang dibuat oleh 28 Umno bahagian yang mencalonkan Najib sebagai Presiden parti.

"Sudah tentulah saya gembira kerana beliau mendapat sokongan, ini perkara baik.

Abdullah sekali lagi mengulangi pendiriannya yang mahukan Najib menjadi penggantinya sebagai Presiden Umno yang baru turut meminta agar ahli Umno memberikan sokongan kepada Timbalan Presiden Umno itu.

"Saya nak Datuk Seri Mohd Najib gantikan saya, saya nak supaya ahli-ahli parti beri sokongan kepada beliau. Beliau boleh jadi pemimpin yang baik," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain