suria

Kelindan lori yang hilang semalam ditemui mati lemas

IPOH: Seorang kelindan lori yang hilang semasa sedang mandi bersama rakan-rakannya di kawasan perkelahan Air Terjun Lubuk Timah, Simpang Pulai, kira kira 15 km dari sini petang semalam, ditemui mati pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Idris Abdullah berkata mayat S.Devendran, 19, yang berasal dari Lahat di sini, ditemui terapung pada pukul 9.35 pagi ini kira-kira 3 km daripada tempat beliau dikatakan hilang, oleh unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Mayat Davendran dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata Davendran bersama enam rakannya pergi ke kawasan air terjun itu pada pukul 3 petang semalam untuk berkelah.

Menurutnya apabila Davendran yang terjun ke dalam sungai itu terus tidak timbul lagi dan hilang, rakanrakan beliau cuba mencarinya tetapi gagal, dan mereka terus membuat laporan di balai polis berhampiran.

Polis dengan kerjasama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Rela melancarkan operasi mencari sehingga pukul 7 petang, tetapi gagal menemui mayat Davendran. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain