SEREMBAN: Kastam Diraja Malaysia mematahkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis Ketamin, dianggarkan seberat 29 kg, bernilai RM1.15 juta oleh seorang lelaki tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sabtu lepas.Percubaan lelaki berusia 47 tahun itu menyembunyikan dadah berkenaan di dalam alat penghawa dingin mudah alih digagalkan oleh kecekapan pegawai Kastam yang mengesyaki sesuatu yang tidak kena. Timbalan Ketua Pengarah (Pencegahan) Kastam Datuk Mardina Alwi berkata lelaki itu tiba di KLIA dengan pesawat Thai Airways dari Bangkok dan sebelum itu tiba di Bangkok melalui satu lagi penerbangan dari Hyderabad."Ini bukan satu perkara baru malah sudah menjadi modus operandi pengedar dadah yang suka menyembunyikan dadah di dalam peralatan elektronik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.Ketamin itu diletakkan di dalam dua bungkusan plastik berwarna hitam, katanya. Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 lelaki itu boleh menerima hukuman mati mandatori. BERNAMA