suria

Harta pengedar pil kuda bernilai RM1juta dirampas

KOTA BHARU:Harta benda milik tiga pendedar pil kuda bernilai hampir RM1 juta dirampas bulan lepas oleh polis narkotik Kelantan.

"Oleh kerana pil kuda adalah dadah sintetik yang mendapat pasaran dan menjadi trend penggunannya di Kelantan, polis Kelantan bertindak aktif mematahkan pengedaran dadah ini dengan melumpuhkan kewangan pengedar supaya mereka tidak mampu membeli barangan itu dari negara jiran," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Supt Wan Azmy Wan Hashim kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata rampasan itu bernilai RM810,555 merupakan yang tertinggi sejak lima tahun lepas.

Katanya rampasan itu dibuat berikutan satu serbuan pada 18 Sept lalu, apabila polis menahan dua lelaki di sebuah rumah di Pasir Mas dan turut menemui wang tunai RM165,897 serta mata wang Thailand, 52,300 baht.

Wan Azmy berkata oleh kerana tidak cukup bukti, keduaduanya yang merupakan peniaga pakaian terpakai, dibebaskan tetapi wang tersebut dirampas.

Dalam tindakan susulan pada 26 Sept, satu lagi serbuan dijalankan di rumah yang sama dan polis turut menahan dua lelaki berkenaan dan seorang wanita, berumur antara 25 dan 45 tahun.

"Polis menemui dan merampas 6,000 biji pil kuda, harta mereka termasuk wang tunai daripada pelbagai akaun, barangan kemas dan motosikal yang keseluruhan berjumlah RM644,658," katanya.

Difahamkan wang tunai hasil penjualan dadah itu telah disimpan oleh salah seorang lelaki terbabit ke dalam akaun ibunya. Wan Azmy berkata ketiga-tiga mereka kini ditahan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua lelaki itu didapati menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak 2005. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain