suria

Gerakan tidak akan sertai pembangkang walaupun keluar BN

KUALA LUMPUR: Gerakan tidak akan "dalam apa cara sekali pun" menyertai pembangkang sungguhpun jika parti itu keluar daripada Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi Gerakan Selangor dan Anggota Jawatankuasa Pusat parti, A. Kohilan Pillay. Beliau berkata, Gerakan sedang meneliti segala kemungkinan, termasuk menjadi sebuah entiti bebas, namun menegaskan bahawa parti itu tidak akan menyertai Pakatan Rakyat.

Apa jua keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti, ia mesti diterima dengan sebulat suara oleh akar umbi, katanya.

"Perkara ini membabitkan status serta masa depan kami dan ia akan ditangani dengan sebaikbaiknya. Kami tidak mahu menjadi sebuah lagi SAPP (Parti Maju Sabah) atau MDP (Parti Demokratik Malaysia, serpihan daripada DAP), apabila keputusan penting telah mengakibatkan perpecahan dalam parti," katanya kepada pemberita di luar persidangan perwakilan kebangsaan Gerakan di sini.

Selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum 8 Mac, Gerakan mendapati banyak anggotanya berhenti atau menyertai pembangkang, dan ini meletakkan tekanan yang amat berat kepada pemimpin parti supaya mengambil tindakan drastik demi kebaikan parti.

Kohilan Pillay berkata, isu itu tidak akan menghalang usaha ke arah menyuburkan semula parti.

"Mereka yang keluar parti berbuat demikian kerana kecewa kerana tidak dapat memenuhi agenda peribadi mereka dalam parti.

"Bagaimanapun, sentimen di peringkat akar umbi Gerakan kini bertambah baik dan saya percaya kami melakukan perkara yang betul dan sedang menuju ke arah yang sepatutnya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut