suria

Bekas Pengurus Pejabat Pos kesal guna wang pos

KUALA LUMPUR:Bekas Pengurus Pejabat Pos Putrajaya yang disabitkan atas tuduhan pecah amanah begitu kesal hingga mengalir air mata di Mahkamah Sesyen di sini dan beberapa kali berkata "terlalu berdosa" atas perbuatannya itu.

Zaharah Jaafar, 45, berkata beliau tetap ingin mengaku bersalah dan bersedia menghadapi hukuman kerana telah lama tersiksa atas tuduhan itu malah anaknya telahpun berhenti belajar dan keluarganya kini berada dalam kesusahan akibat tertekan.

Bagaimanapun Hakim S.M Komaty Suppiah tidak menjatuhkan hukuman ke atasnya hari ini malah Zaharah dinasihatkan supaya mencari peguam untuk mengemukakan rayuan.

"Nak makan pun susah, macam mana nak cari peguam," katanya dari kandang tertuduh.

Komaty yang kelihatan terharu dengan keadaan Zaharah kemudiannya memerintah supaya mahkamah melantik peguam untuknya dan meminda tarikh untuk menjatuhkan hukuman pada 13 Nov depan.

Zaharah didakwa melakukan pecah amanah membabitkan wang kutipan harian berjumlah RM95,500 milik Pejabat Pos Putrajaya, di pejabat pos berkenaan di Aras 1 Blok B1, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, pada 18 Mei 2006.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan boleh dikenakan sebatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain