suria

Rais Populariti Mukhriz menunjukkan Pemuda mahu perubahan

JELEBU: Populariti Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang mendapat 29 pencalonan setakat semalam berbanding lawan untuk jawatan Ketua Pemuda Umno menunjukkan anggota parti dahagakan seseorang pemimpin yang boleh membawa perubahan.

Menteri Luar dan juga Ketua Umno Bahagian Jelebu Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata beliau sendiri agak terkejut dengan jumlah pencalonan yang diterima oleh anak bekas perdana menteri itu.

"Ini sebenarnya mengembleng satu pandangan baru bahawa Umno di peringkat muda mahu perubahan dan sesungguhnya beliau (Mukhriz) dilihat sebagai seorang pejuang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Jelebu hari ini.

Rais berkata bahang dan aura Mukhriz kini mula terasa dan beliau berharap ini akan memberi kebaikan kepada Umno.

"Kewibawaan Mukhriz sudah terbukti pada peringkat awal di mana beliau tidak memerlukan sokongan saudara mara di dalam parti untuk menjadi seorang pemimpin," katanya.

Setakat semalam, Mukhriz mendapat 29 pencalonan berbanding Khairy Jamaluddin, 13 dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, 6, untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti Mac depan.

Rais yang menawarkan diri sebagai calon bagi jawatan Naib Presiden Umno hari ini mengulangi hasratnya untuk bertanding jawatan itu walaupun seorang lagi rakan senegerinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad juga menawarkan diri bertanding jawatan yang sama.

"Tidak jadi masalah pasal kita harus (bersikap) terbuka, ada orang kata dari satu negeri harus ada satu sahaja calon. Ini idealistik tapi sebenarnya dibenarkan perlembagaan, kalau kita tidak tampilkan caloncalon lebih dari seorang dari satu negeri, bagaimana kita hendak buat perbandingan," katanya.

Dalam pada itu beliau juga mengulangi pendiriannya supaya sistem kuota untuk pemilihan jawatan dalam parti diganti dengan satu sistem yang lebih baik.

Beliau berpendapat sistem yang diamalkan oleh beberapa buah negara seperti pilihan raya parti mungkin sesuai untuk Umno di mana setiap anggota berpeluang mengundi calon pemimpin mereka.

"Ada pihak menyatakan seharusnya presiden dan timbalannya serta naibnaib presiden dipilih menerusi pilihan raya Umno di mana setiap anggota berhak memilih".

Mengenai cadangan penubuhan Kelab Barisan Nasional (BN) oleh Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, beliau melihat cadangan itu sebagai sesuatu yang positif tetapi perlu diperhalusi akan kesan positif dan negatifnya.

"Saya fikir kita perlu halusi apa tanda campur (positif) dan tanda tolaknya (negatif) yang terhasil dari cadangan tersebut sekiranya direct membershipatau keahlian terus menerus boleh melemahkan Umno kemudian, mungkin ahli pergi ke BN dan Umno ditinggalkan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain