suria

PM Bolehkan keahlian langsung BN

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesyorkan penubuhan sebuah kumpulan yang membenarkan keahlian langsung dalam Barisan Nasional (BN) bagi mereka yang menyokong BN tetapi tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti komponen.

"Ini adalah idea yang saya timbulkan dan perlu difikirkan kerana saya tahu ada ramai yang menyokong BN, nak dekat dengan BN dan mahu berinteraksi serta banyak berbincang mengenai BN mesti lakukan itu dan ini.

"Tapi (mereka) ada masalah sikit dengan parti-parti komponen yang tidak begitu disukai tapi mereka mahu berinteraksi.

"Jadi saya fikir ada baiknya juga kita wujudkan (kumpulan) dan bagaimana ia distruktur, iaitu satu platform dan satu kumpulan yang terdiri daripada ahli-ahli BN secara langsung," katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Nasional ke-37 di Menara PGRM di sini, hari ini.

Abdullah berkata, dengan membenarkan golongan ini lebih dekat dengan BN melalui pembentukan kumpulan yang lebih formal, ia merupakan permulaa yang baik dan menjai satu pembaharuan yang ingin dilakukan BN.

Ditanya sama ada cadangannya penubuhan itu lebih mirip kepada kelab penyokong BN atau sebuah parti rasmi, Abdullah berkata, beliau tidak mahu bercakap tentang hal itu pada masa ini kerana ia memerlukan penelitian secara mendalam.

"Tapi saya katakan, ini adalah peluang kepada penubuhan yang lebih terancang. Apa nama yang akan diberi, saya tidak tahu.

"Apa yang penting, kita bawa mereka bersama dan adakan bentuk yang sebaik-baiknya," katanya.

Ditanya sama ada ia merupakan langkah pertama ke arah BN sebagai sebuah parti tunggal pelbagai kaum, Abdullah berkata, beliau tidak mahu menganggapnya begitu kerana tiada sesiapa yang dapat menjangka masa depan dan ia terpulang kepada generasi akan datang untuk menentukan.

"Tapi, jika eksperimen seperti ini wujud dan berlaku dengan baik, saya sangat gembira.

"Pada masa depan, kalau mereka (generasi akan datang) mahu perubahan atau mungkin kita akan teruskan dengan apa yang ada sekarang. Kita tak tahu tapi kita perlu cuba, itu yang penting," katanya.

Abdullah juga menolak penubuhan kumpulan itu menyebabkan peranan parti-parti komponen dalam BN merosot kerana sebagai sebuah parti yang mewakili semua, BN perlu memberi peluang kepada golongan yang mahu berinteraksi dengan mereka.

Katanya, walaupun parti komponen BN seperti Gerakan dan PPP adalah sebuah parti berbilang kaum tetapi ia lebih dilihat sebagai parti yang berasaskan kaum.

"Ini semua bergantung kepada pemikiran rakyat Malaysia tapi peluang untuk wujudkan parti seperti ini (berbilang kaum) adalah lebih baik.

"Kalau nak sertai Umno, sertailah. Kita tak pernah menghalang. Tapi kita mahu ada penyatuan dari segi pemikiran, bersatu kerana bangsa Malaysia mesti hidup dalam keadaan selamat dan hormat menghormati," katanya.

Ketika ditanya sama ada pengundurannya pada Mac depan telah meredakan ketidak tentuan politik negara ini, Abdullah berkata, beliau mengharapkannya kerana mahu melihat semua perkara diselesaikan dengan baik.

"Saya sentiasa mahu melihat semuanya diselesaikan, tenteram balik, yang sentiasa menjadi harapan saya dan jika apa sahaja yang telah saya lakukan boleh menyumbang kepadanya, saya gembira. Jika tidak menyumbang kepada itu, apa yang saya boleh buat.

"Saya ada kerja untuk dilaksanakan, Saya akan buat apa yang saya mahu buat. Saya buat keputusan dan saya akan teruskan keputusan saya," kata beliau.

Berhubung pembangkang yang sering memperkatakan kepimpinan beliau dan mahu mengambil alih kerajaan BN melalui undi tidak percaya di Parlimen, Abdullah berkata:

"Saya di sini bukan untuk beritahu sama ada mereka akan lakukan atau tidak, kita semua tahu kelakuan pembangkang."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain