suria

Pemuda PAS pelawa Ku Li sertai Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR:Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub hari ini secara peribadi mempelawa Tengku Razaleigh Hamzah untuk menyertai Pakatan Rakyat sekiranya Anggota Parlimen Gua Musang itu tiada sefahaman lagi dengan Umno.

Salahuddin, yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian, berkata tujuan mempelawa Tengku Razaleigh adalah untuk memperkukuhkan pakatan pembangkang melalui idea dan pengalamannya terutama dalam bidang ekonomi.

"Secara peribadi saya mempelawa Tengku Razaleigh untuk menyertai Pakatan Rakyat. Setakat ini belum ada pertemuan secara rasmi lagi dilakukan untuk tujuan itu melainkan pertemuan biasa. Dua hari lalu saya lontarkan pelawaan itu kepada Tengku Razaleigh di Kota Baharu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS di sini hari ini.

Ditanya mengenai maklum balas daripada Tengku Razaleigh, Salahuddin berkata:

"Saya diberitahu secara tidak rasmi oleh pembantu beliau bahawa dia hanya tersenyum di atas pelawaan saya itu."

Beliau juga berkata Pemuda PAS akan mengadakan perhimpunan di Putrajaya pada 10 Jan depan untuk membantah pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain