suria

Ong Tee Keat dakwa tidak guna kedudukan sebagai menteri untuk kempen

KANGAR: Calon Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat berkata beliau tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai menteri untuk berkempen bagi pemilihan MCA kerana kuasa sebagai anggota Kabinet hanyalah untuk kepentingan negara dan rakyat.

Katanya beliau menggunakan hujung minggu atau selepas waktu pejabat untuk berkempen bagi mengelakkan tuduhan bahawa beliau menyalahgunakan kuasanya atau menggunakan kuasa politik untuk berkempen.

Sebagai menteri, beliau sepanjang masa berkhidmat untuk negara dan rakyat dan bukan semasa kempen pemilihan sahaja, katanya kepada pemberita semasa menghadiri Konvensyen MCA Perlis di sini hari ini.

Pada pemilihan MCA 18 Okt ini, Ong yang juga Naib Presiden MCA akan berhadapan dengan bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Chua Jui Meng bagi merebut kerusi Presiden MCA.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan berkata beliau tidak membawa urusan menteri dalam kempen politik.

Menurutnya, MCA bukan sahaja memerlukan kepimpinan baru tetapi juga hala tuju yang baru melalui anjakan pradigma dalam parti itu.

Beliau berkata anggota parti itu di peringkat akar umbi jelas mahukan perubahan dilakukan dalam MCA dan beliau akan cuba membawa perubahan itu.

Mengenai kempen yang dijalankan, Ong berkata mereka bergerak dalam satu kumpulan untuk memperkenalkan diri kepada perwakilan selain berkempen menggunakan teknologi maklumat termasuk menyediakan blog.

Ong mengingatkan perwakilan supaya bijak membuat perhitungan kerana ada pemimpin yang ingin mendapatkan kuasa dan kemudian menggunakan kuasa itu untuk kepentingan peribadi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain