suria

Najib terus di depan Muhyiddin dikejar dua pemimpin lain

[DIKEMAS KINI, sehingga 7.30 petang] KUALA LUMPUR: Gandingan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Presiden dan Timbalan Presiden Umno terus menjadi pilihan bahagian-bahagian Umno yang mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing sehingga hari ini.

Sehingga pukul 7.30 petang, Najib kekal sebagai calon tunggal untuk jawatan presiden dengan 22 pencalonan manakala Muhyiddin mendapat 19 pencalonan bagi jawatan timbalan presiden.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam memperoleh tiga pencalonan manakala Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib menerima satu pencalonan.

Sementara itu persaingan bagi tiga jawatan Naib Presiden Umno meningkat kepada 10 calon dengan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendahului dengan 18 pencalonan diikuti Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan 11 pencalonan.

Yang lain ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (9), Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (8), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar (4), Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim (4), bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim (2), Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Mohamad Hasan (2), bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (2), Pengerusi badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa (1) dan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis (1).

Persaingan bagi jawatan Ketua Pemuda Umno juga semakin menarik dengan anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir mendapat 37 pencalonan diikuti dengan naib ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin yang mendapat 19 pencalonan, bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, yang mendapat lapan pencalonan serta timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mendapat satu pencalonan.

Bagi jawatan Ketua Wanita Umno pula, penyandangnya Tan Sri Rafidah Aziz terus mendapat pencalonan bagi mempertahankan jawatan itu dengan 49 pencalonan setakat ini.

Naib Ketua pergerakan itu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendapat 11 pencalonan bagi jawatan tersebut, walaupun Rafidah telah mengumumkan pelan peralihan kuasa kepada Shahrizat.

Persaingan bagi jawatan Ketua Puteri Umno tidak kurang hebatnya dengan persaingan dekat antara Ketua Penerangan pergerakan itu Datuk Shahaniza Shamsuddin yang mendapat 32 pencalonan, diikuti dengan naib ketua pergerakan tersebut Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang mendapat 28 pencalonan, anggota Exconya Datin Ismalina Ismail (11), setiausaha pergerakan itu Bibi Sharliza Mohd Khalid (6) dan ketua Puteri Umno Pulau Pinang Azlina Mehtab Mohd Ishaq (4).

Sejumlah 26 bahagian Umno mengadakan mesyuarat masing-masing hari ini.

Sejak Jumaat lepas hingga hari ini, 29 daripada 191 bahagian Umno telah mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing.

Minggu depan, sejumlah 41 lagi bahagian Umno dijadual mengadakan mesyuarat perwakilan masingmasing, dengan kebanyakan mesyuarat bertumpu pada hujung minggu mulai Jumaat. Bahagian-bahagian itu diberikan tempoh sebulan sehingga 9 Nov untuk mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain