suria

Najib perlu pastikan tidak dikelilingi kroni bila memerintah Mahathir

MELBOURNE:Datuk Seri Najib Tun Razak perlu memastikan dirinya tidak dikelilingi oleh kroni dan anggota keluarga apabila beliau menjadi perdana menteri, kata Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini.

"Beliau juga patut mendapatkan nasihat daripada beberapa bekas anggota Parlimen dan pakar mengenai urusan mentadbir negara," kata bekas perdana menteri itu kepada Bernama selepas berucap pada seminar belia Malaysia di University of Melbourne.

"Banyak kerja perlu dilakukan untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap kerajaan," kata Dr Mahathir.

"Tetapi Najib tidak patut cuba melakukan semuanya sendirian. Beliau perlu mendapatkan nasihat yang betul daripada mereka yang benarbenar layak.

"Beliau tidak sepatutnya dikelilingi oleh kroni dan anggota keluarga kerana ini tidak baik untuk negara."

Dr Mahathir, bagaimanapun, tidak mengenal pasti mereka yang berkenaan.

Beliau berkata Najib, timbalannya, Umno dan rakan parti komponen perlu bekerja keras sebagai satu pasukan untuk memenangi sokongan rakyat terhadap kerajaan yang mengalami tamparan pada pilihan raya umum lepas.

"Undi yang kita hilang merupakan undi protes. Rakyat Malaysia tidak gembira dan ini diterjemahkan melalui peti undi," katanya.

Dr Mahathir berkata sebilangan rakyat berpendapat kerajaan telah menjadi angkuh dan tidak memenuhi keperluan mereka.

"Sesetengah anggota Parlimen berpendapat, sebaik sahaja dipilih dan diberikan jawatan menteri, mereka tidak perlu lagi balik ke kawasan mereka dan bercakap dengan rakyat dan mengetahui apa yang perlu dilakukan dan menjelaskan dasardasar kerajaan," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau berharap keadaan itu akan berubah di bawah kepimpinan Najib. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain