suria

Shahidan akui jalan berliku rebut jawatan Naib Presiden Umno

KANGAR: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mengakui perjalanan yang bakal ditempuhinya penuh berliku bagi jawatan Naib Presiden Umno dengan menghadapi antara lain cabaran politik kuasa.

Katanya, mereka yang berkedudukan dan mempunyai kuasa akan lebih mudah melaksanakan kempen mereka tetapi bagi kumpulan yang tidak mempunyai kedudukan tinggi dan tidak mempunyai kuasa akan terus ketinggalan.

Bercakap kepada pemberita di sini beliau berkata, sekiranya sebelum ini politik wang sering disebut sebagai amalan yang mengganggu proses pemilihan parti, namun kini politik kuasa juga perlu dilihat oleh Lembaga Disiplin Umno.

"Orang yang ada kuasa boleh mengumumkan peruntukan projek itu dan ini tetapi bagi yang tak ada kuasa tidak boleh melakukan itu semua," kata beliau yang menawarkan diri bertanding kerusi Naib Presiden Umno.

Shahidan turut menyambut baik proses perubahan generasi dalam Umno seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Bagaimanapun perubahan generasi itu akan lebih releven jika yang lama tidak terus ditinggalkan dan yang baru diberi tempat dan kedudukan.

Jika perubahan generasi itu menyebabkan kumpulan yang lama dipinggirkan dan hanya kumpulan yang baru menguasainya maka Umno tidak akan menjadi seimbang.

Mengenai peluangnya untuk memenangi jawatan Naib Presiden Umno, beliau berkata, sebelum ini hanya beliau seorang dari negeri di utara yang menawarkan diri untuk kerusi itu tetapi kini seorang lagi pemimpin dari kawasan tersebut iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun katanya yang lebih penting pemimpin yang bakal dipilih boleh berkhidmat dengan baik untuk rakyat dan negara.

Shahidan berkata beliau akan mengangkat semula martabat ulama dalam Umno jika dipilih sebagai Naib Presiden Umno. BERNAMA

Artikel Lain