suria

Shabery Jadikan BN parti pelbagai kaum ibarat bubarkan Umno

KEMAMAN: Sebarang cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) satu parti pelbagai kaum ibarat seperti membubarkan Umno yang selama ini menjadi tunjang kepada kekuatan kerajaan memerintah.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata sebagai anggota Umno, beliau melihat cadangan tersebut merupakan satu tamparan hebat, seolaholah Umno sudah tidak lagi relevan dalam konteks politik tanah air sekarang.

Shabery yang juga anggota Parlimen Kemaman berkata berdasarkan prestasi pada Pilihan Raya Umum ke12 Mac lepas, walaupun jumlah kerusi yang dimenangi Umno kurang iaitu 79 kerusi, angka tersebut masih lagi besar berbanding parti komponen BN lain dan ia tidak banyak bezanya dengan pencapaian keseluruhan Pakatan Rakyat iaitu 82 kerusi.

"Sekiranya ada pemimpin Umno hari ini yang bercakap untuk menjadikan BN sebuah parti pelbagai kaum, ianya sama seperti hendak membubarkan Umno...dan ini merupakan satu penghinaan terhadap Umno. Saya tidak bersedia untuk berdepan dengan (situasi) begitu rupa.

"Umno masih kuat dan relevan dalam membangunkan negara dan rakyat malah dalam rantau ini Malaysia adalah antara yang terbaik hasil daripada kejayaan kerajaan BN yang diterajui Umno," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Anggota Parlimen Kemaman di Dewan Sri Amar di sini hari ini.

Dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan Wanita dan Pemuda Gerakan Ke-21 di ibu negara semalam, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mencadangkan supaya semua parti komponen BN digabungkan menjadi satu entiti manakala Pemuda Gerakan meminta cadangan itu difikirkan dengan serius kerana ia relevan dengan kehendak semasa rakyat.

Mengulas lanjut, Shabery berkata bentuk kerjasama yang ada sekarang antara partiparti komponen BN adalah yang terbaik dalam membangunkan negara dan rakyat.

"Kalau ada kelemahan (dalam BN) perlu diperbaiki, tidak perlu mengubah struktur yang ada sekarang," katanya.

Beliau berkata apa yang penting sekarang ialah memperkukuhkan BN dan mencari jalan untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat terhadap parti berkenaan.

"Dalam sejarah, ada turun naik, kali ini kita lihat prestasi BN menurun. Tetapi itu tidak bermakna BN perlu mengubah segala-galanya.

Ini kerana setiap kali ada masalah ekonomi boleh menyebabkan masalah politik dan sebagainya.

"Saya percaya apabila keadaan ekonomi dunia yang turut dirasai di negara ini dapat diatasi, rakyat akan kembali kerana tiada kerajaan yang lebih baik selain BN dalam membangunkan dan memberikan yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Mengenai kenyataan terbaru Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pembentukan kerajaan baru mungkin dapat dilaksanakan sebelum Hari Raya Aidiladha, Shabery berkata perkara itu tidak perlu lagi dilayan kerana Anwar sering membuat pembohongan.

"Tidak tahu berapa banyak kali dia akan berbohong selepas ini. Cukuplah dia terus berbohong dan cukuplah kita melayani pembohongan dia," katanya. BERNAMA

Artikel Lain