suria

Pemandu kedai mati ditembak berhampiran rumah

RAWANG: Seorang pembantu kedai mati ditembak semasa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jalan Teratai 18, Bukit Beruntung di Kuala Kubu Baru hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor SAC II Hasnan Hassan berkata kejadian berlaku pada kirakira pukul 10.30 pagi semasa Chin Kam, 45, sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya yang terletak hanya kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Beliau berkata dalam kejadian itu Chin yang sedang berjalan dengan membawa bersama sebungkus bihun dari rumahnya untuk bersarapan di tempat kerja, dihampiri oleh suspek yang tidak dikenali, sebelum ditembak dari jarak dekat.

"Chin yang baru keluar dari rumahnya, mati di tempat kejadian apabila tembakan itu mengenai bahagian dada dan belakang tubuhnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata suspek dipercayai melepaskan dua das tembakan menggunakan pistol automatik jenis 9mm, berdasarkan penemuan dua kelongsong peluru di tempat kejadian.

Hasnan berkata berdasarkan siasatan awal polis percaya perbuatan itu bukan bermotifkan samun memandangkan barang peribadi Chin termasuk dompet dan wang tunainya tidak diambil.

Mayat Chin dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk bedah siasat. BERNAMA

Artikel Lain