suria

Mayat bayi lelaki ditemui di Masjid Terapung

KUALA TERENGGANU:Sekumpulan jemaah wanita yang mahu bersembahyang Subuh di Masjid Tengku Tengah Zaharah di sini pagi ini terkejut apabila menemui mayat seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di masjid berkenaan.

Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui kira-kira pukul 5.30 pagi oleh beberapa mahasiswi dari sebuah universiti di Selangor, yang dalam perjalanan ke Tasik Kenyir dan singgah untuk bersembahyang di masjid itu yang lebih dikenali sebagai Masjid Terapung.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata mayat itu ditemui di ruang solat wanita dalam keadaan dibungkus dengan sehelai tuala sebelum dibalut dengan sehelai sejadah.

"Bayi lelaki ini dipercayai dilahirkan di tempat lain sebelum ditinggalkan di dalam masjid berkenaan," katanya di sini hari ini.

Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata tiada sebarang tanda bayi itu dilahirkan di dalam masjid tersebut kerana tiada kesan darah di dalam tandas atau kawasan lain di sekitarnya.

Beliau berkata pihaknya masih menyiasat punca kematian bayi tersebut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penemuan bayi itu, supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. BERNAMA

Artikel Lain