suria

Keahlian langsung Jawatankuasa Pengurusan BN akan kaji terma dan syarat Najib

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Jawatankuasa Pengurusan Barisan Nasional (BN) akan mengkaji terma dan syarat bagi penubuhan Kelab Barisan Nasional yang membuka keanggotaan kepada mereka yang tidak berminat menyertai manamana parti komponen BN.

Timbalan Presiden Umno itu berkata ini kerana ada orang yang mungkin keberatan untuk menyertai parti tertentu tetapi mahu menjadi sebahagian daripada BN, boleh membuat permohonan secara terus.

"Tetapi, kami perlu lihat daripada segi struktur yang kami cadangkan, dan juga terma dan syaratnya dan lainlain lagi. Jadi, jawatankuasa pengurusan kami akan mengkajinya.

"Ini adalah sebahagian daripada pembaharuan yang kami mahu laksanakan, kerana sejumlah besar golongan muda Malaysia mahu melihat sebuah parti pelbagai kaum. Jadi, mereka mungkin mahu menyertai BN secara terus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Hari Raya Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan di sini hari ini.

Najib diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah, turut hadir pada majlis rumah terbuka itu kemudiannya.

Najib mengulas cadangan Abdullah hari ini agar ditubuhkan Kelab Barisan Nasional yang boleh menjadi platform bagi semua rakyat Malaysia untuk berinteraksi dan menjalin hubungan lebih erat dengan pemimpin negara.

Ditanya sama ada terdapat sebarang bantahan daripada akar umbi, Najib berkata: "Saya rasa tidak. Tetapi kami perlu perincikan strukturnya. Prinsipnya, saya fikir, diterima dengan baik."

Mengulas isu itu selepas menghadiri majlis itu, setiausaha penganjur Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Peter Chin Fah Kui berpendapat parti-parti komponen patut menimbangkan cadangan perdana menteri itu. Chin, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata langkah itu turut diambil semasa zaman Perikatan.

"Jadi, mungkin partiparti komponen patut menimbangkan cadangan Pak Lah ini supaya orang yang tidak mahu menjadi anggota manamana parti Barisan masih menyokong konsep BN.

"Dengan itu, mungkin mereka ini boleh menjadi anggota secara terus," katanya dan menurutnya Majlis Tertinggi BN wajar memperincikan siapa yang layak untuk menjadi anggota secara terus. BERNAMA

Artikel Lain