suria

Dua mayat lelaki ditemui dalam keadaan tangan terikat

MELAKA: Dua mayat lelaki ditemui dalam keadaaan tangan terikat di tingkat atas sebuah rumah kedai dua tingkat di Taman Ayer Salak di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Mohd Adnan Abdullah berkata kedua-dua mayat itu ditemui pada pukul 3 petang selepas polis menerima laporan daripada jiran premis itu yang mengadu bau busuk dari rumah berkenaan.

"Berdasarkan siasatan awal, salah seorang daripada lelaki itu dipercayai rakyat tempatan berbangsa Cina, manakala seorang lagi masih belum dapat dipastikan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui daripada keduadua mayat itu, dan pintu pagar rumah kedai itu pula didapati berkunci dari luar.

Menurutnya punca kematian tidak dapat dipastikan dan polis percaya kedua-dua lelaki itu mati lebih dari tiga hari lepas.

Mohd Adnan berkata polis sedang berusaha mengesan sebuah kereta jenis proton Wira Aeroback berwarna hijau metalik nombor pendaftaran WJB3224 yang dipercayai milik salah seorang daripada lelaki itu.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kereta itu diminta menghubungi polis dengan menelefon Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Melaka Tengah, DSP Ali Mydin di talian 019-4113222 atau menghubung balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Lain