suria

Pengawal keselamatan didenda RM1000 kerana cederakan orang dalam keadaan mabuk

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan hari ini didenda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda itu di Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah mencederakan seorang yang tidak dikenali dalam keadaan mabuk pada Februari lepas.

R. Supermaniam, 55, mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan iaitu mencederakan N.Kuganesen,29, seorang penghantar surat, di Kuil Hindu di Lorong Hujan 2, Taman OUG di sini pada 12.05 pagi, 24 Feb lepas.

Pada awalnya dia dituduh cuba melakukan samun terhadap penghantar surat itu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan pilihan dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya hanya dikenakan hukuman denda kerana dia adalah penanggung tunggal keluarganya dan berjanji untuk kembali ke pangkal jalan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya. Supermaniam membayar denda itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain