suria

Najib Sistem kuota masih dikekalkan

ALOR STAR:Sistem kuota untuk pencalonan bagi jawatanjawatan tertinggi dalam Umno masih dikekalkan setakat ini, kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Setakat ini kita masih menggunakan sistem kuota (untuk pencalonan bagi jawatan tertinggi dalam parti)", kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama Ketuaketua Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Pemimpin Masyarakat anjuran Badan Perhubungan Umno negeri di sini hari ini.

Najib yang telah mengumumkan untuk bertanding bagi jawatan Presiden Umno semalam berkata, beliau tidak pasti sama ada sistem kuota itu akan dihapuskan atau tidak pada masa akan datang.

Mengikut fasal 9.5 Perlembagaan Umno, calon Presiden perlu mendapat 30 peratus pencalonan daripada jumlah bahagian Umno yang sah untuk melayakkan diri bertanding, 20 peratus bagi jawatan Timbalan Presiden, 10 peratus untuk mereka yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden dan lima peratus bagi jawatan Anggota Majlis Tertinggi parti itu.

Mengenai kemunculan banyak calon menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, Najib berkata ia adalah sesuatu yang biasa dalam amalan demokrasi.

Setakat ini, dua Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohd Ali Rustam dan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac tahun depan.

Najib berkata, terpulanglah kepada persidangan perwakilan Umno Bahagian di seluruh negara untuk membuat pencalonan kerana sekarang ini ia masih di peringkat menawarkan diri.

Katanya, beliau akan membuat kenyataan mengenainya kemudian kerana yakin ada di antara mereka yang tidak melepasi kuota dan keadaan akan berubah apabila musim pencalonan selesai.

Mengenai cadangan Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Shahrir Abdul Samad supaya mereka yang melepasi usia 55 tahun tidak lagi bertanding untuk jawatan tertinggi parti, Najib berkata mungkin apa yang dimaksudkan oleh Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna itu ialah mengenai peralihan kuasa kepada generasi baru.

Katanya, usia bukanlah faktor sebenar tetapi seperti apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa beliau adalah pemimpin generasi Allahyarham Tun Razak yang terakhir untuk memegang jawatan presiden dan perdana menteri.

Mengenai tindakan seorang Anggota Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Arau, Ismail Hashim yang mahu menawarkan diri untuk bertanding sebagai presiden, Najib berkata: "Adakah (beliau boleh mendapat) pencalonan nanti?".

"Jangan terlalu teruja untuk tawarkan diri kerana kita masih ada sistem kuota", kata beliau.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dikatakan telah mengarahkan Ismail, 43, yang lebih dikenali sebagai "Mail Bangsawan" supaya menarik balik hasratnya untuk bertanding sebagai presiden. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain