suria

Mukhriz sifatkan Najib dan Muhyiddin calon paling sesuai terajui Umno

JERLUN: Calon Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Mukriz Tun Dr Mahathir menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai gandingan paling layak menjawat jawatan presiden dan timbalan presiden Umno.

Beliau yang merupakan Anggota Parlimen Jerlun menyifatkan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri yang memiliki sifat pemimpin berkualiti, dan juga seorang yang penyabar.

"Najib adalah calon paling layak ke jawatan presiden kerana sifatsifat kepeimpinan yang dimilikinya," kata Mukhriz yang ditemui pemberita pada mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Jerlun di sini, hari ini.

Beliau berkata Muhyiddin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Naib Presiden Umno pula memiliki sikap yang yang tidak segan menegur kepimpinan parti apabila berlaku sesuatu isu atau krisis, demi menyelamatkan parti, selain tidak gentar menghadapi risiko akibat tegurannya.

"Muhyiddin juga berjaya membuktikan keupayaannya semasa memimpin beberapa buah kementerian termasuk yang terbaru Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri," katanya.

Mukhriz berkata beliau berharap berharap semua bahagian di seluruh negara akan mencalonkan keduadua tokoh itu sebagai presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti pada Mac tahun depan.

Muhyiddin hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden selepas Najib mengumumkan bertanding jawatan presiden semalam, setelah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Rabu lepas mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Mac tahun depan.

Selain Muhyiddin, naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dan Ketua Umno bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed turut menawarkan diri bertanding ke jawatan timbalan presiden.

Mengenai pertandingan bagi jawatan ketua Pemuda Umno, Mukhriz berkata beliau menjangka akan berlaku persaingan sengit bagi merebut jawatan itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain