suria

Muhyiddin sah tanding jawatan Timbalan Presiden

PUTRAJAYA: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi mengumumkan secara rasmi pendiriannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti Mac depan.

"Saya yakin akan dapat jumlah pencalonan yang cukup untuk layak bertanding jawatan ini," katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Beliau juga yakin mempunyai peluang untuk memenangi jawatan itu dengan sokongan yang diperolehi daripada perwakilan dan para pemimpin parti.

"Peluangnya amat baik, saya mempunyai keyakinan penuh. Dengan sokongan perwakilan dan pemimpin saya fikir saya boleh menang...InsyaAllah," katanya.

Selain Muhyiddin, antara yang menawarkan diri bertanding jawatan tersebut ialah Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata keputusan untuk bertanding jawatan nombor dua dalam parti itu diambil kira bahawa Umno yang akan diterajui oleh bakal Presiden yang baru iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memerlukan barisan kepimpinan yang teguh dan bersatu dalam usaha mengatasi cabaran semasa.

Tambah Muhyiddin, beliau mampu memainkan perananannya bersama Najib kerana tidak mempunyai masalah dengan Timbalan Perdana Menteri itu.

"Saya boleh bekerjasama dengan Datuk Seri Mohd Najib kerana kami telah bersama dalam tempoh yang lama sama ada dalam Umno mahupun kerajaan," katanya smabil memberitahu hasratnya itu telah dimaklumkan kepada Najib.

Ditanya sama ada keputusannya itu akan menyebabkan sokongan dari Umno Johor berpecah kepada dua kerana Datuk Nur Jazlan juga merupakan calon dari Johor yang akan bersaing merebut jawatan Timbalan Presiden, beliau berkata:"Saya rasa tidak."

Mengulas sama ada beliau akan tetap menyokong siapa jua Presiden yang baru jika Najib tidak terpilih, beliau tetap berkeyakinan bahawa ahli-ahli Umno akan memberi kemenangan kepada Najib.

"Saya yakin Datuk Seri Najib akan menang," katanya.

Menjawab pertanyaaan media mengenai apakah perubahan yang bakal dilakukan jika beliau menang dalam pemilihan nanti, beliau berkata pemimpin paling utama ialah dan paling penting ialah Presiden dan Perdana Menteri.

"Sebagai orang nombor dua, saya sepatutnya memberi sokongan penuh dan mengikut hala tuju yang dirancangkan untuk membawa kemajuan kepada negara," katanya.

menurut beliau perkara yang paling utama adalah usaha untuk membaik pulih, menyatukan parti serta membina arah dan harapan baru agar dapat mengembalikan sokongan masyarakat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Keduanya saya yakin dapat memainkan peranan bersama dengan bakal Presiden baru di dalam usaha meningkatkan kembali perpaduan kaum, mengeratkan hubungan kerjasama di antara parti komponen BN dengan mengambil kira kehendak atau situasi masa kini, agar kita lebih mantap dan lebih bersedia bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.

Diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau merupakan calon terbaik bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri, sambil tersenyum beliua berkata: "Terima kasih, terima kasih banyak-banyak."

Artikel Berikut

Artikel Lain