suria

Khairy janji rapatkan barisan parti komponen BN jika menang

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu Mac tahun depan, telah berjanji untuk merapatkan barisan di kalangan sayap pemuda dalam parti komponen Barisan Nasional, jika beliau menang dalam pemilihan itu.

"Sesiapa yang mengambil alih jawatan Ketua Pemuda UMNO akan juga menjadi ketua Pemuda BN, perkara pertama bagi pemimpin itu adalah untuk mencari jalan merapatkan semula barisan dalam BN yang merupakan satu parti yang sentiasa bergerak bersama," katanya kepada pemberita selepas persidangan perwakilan Pemuda dan Wanita Gerakan di sini yang dirasmikan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon di sini hari ini.

Dalam ucapan perasmian Dr Koh mencadangkan supaya semua parti komponen BN digabungkan dan menjadi sebuah entiti dan mengenai perkara itu Khairy berkata pandangan seperti itu tidak boleh ditolak mentah-mentah kerana UMNO terbuka kepada sebarang pandangan demi kepentingan bersama.

"Perkara utama ialah kita mesti berfikiran terbuka kerana kita bercakap mengenai masa depan, lanskap politik yang baru kerana kita mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa kita serius dalam menerima perubahan," katanya.

Khairy berkata semua parti komponen BN boleh berbincang, mengenai cadangan itu dan mekanisme yang akan digunakan, semasa Konvensyen BN pada 2 Februari tahun depan seperti yang dicadangkan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Khairy berkata Gerakan dan Parti Progresif Penduduk boleh menjadi model bagi identiti parti pelbagai kaum di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda PPP Senator T. Murugiah berkata cadangan itu boleh dilaksanakan tetapi ia akan mengambil masa yang lama sebelum menjadi kenyataan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain