suria

Taib Pelan peralihan kuasa cara terbaik perkukuh kerajaan

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak menyokong pelan peralihan kepimpinan yang akan membolehkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih lebih awal jawatan Perdana Menteri daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sambil menyifatkannya sebagai cara terbaik untuk memperkukuhkan kerajaan, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata keputusan Abdullah untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno dan melepaskan jawatan Perdana Menteri pada Mac tahun depan amat berani memandangkan beliau melakukan apa yang terbaik untuk negara.

"Kami menyokong pelan itu kerana inilah cara terbaik untuk membawa peralihan yang lancar dalam kerajaan dan kepada sesiapa saja yang mengambil alih daripada Pak Lah (Abdullah)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya, di sini hari ini.

Taib, yang juga pengerusi BN Sarawak dan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), iaitu tunjang BN negeri, berkata langkah itu akan memberikan masa yang cukup kepada pengganti Abdullah untuk membuat persediaan bagi melaksanakan perubahan yang beliau ingin perkenalkan.

"Seperti yang anda tahu, Umno adalah parti terbesar dalam BN dan saya serahkan kepada Umno untuk membuat keputusan dalam persoalan berhubung pemimpin mereka dan nampaknya terdapat beberapa persetujuan dalam Umno bahawa mereka mahu Najib mengambil alih lebih awal," katanya.

Taib turut menyambut baik keputusan Abdullah untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri selepas pemilihan Umno pada Mac tahun depan.

"Kami amat bangga dengan beliau (Abdullah) kerana jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di negara lain, kita mempunyai Perdana Menteri yang membuat keputusan berdasarkan apa yang terbaik untuk negara," kata Taib.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan berkata parti komponen BN kedua terbesar itu akan memberi sokongan padu kepada kepimpinan baru dan menyokong penuh Najib sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri kelak.

"Kita memerlukan sebuah kerajaan yang amat stabil dan tidak mampu lagi goyah. Jadi, lebih cepat kita mara ke depan, lebih baik," katanya. BERNAMA

Artikel Lain