suria

Pertandingan sihat rebut jawatan Ketua Puteri

KUALA LUMPUR:Empat pemimpin Puteri UMNO yang menawarkan diri bertanding jawatan ketua pergerakan itu berkata mereka mengutamakan pertandingan yang sihat pada pemilihan parti Mac depan serta berazam untuk memulih semula keyakinan rakyat terhadap Umno.

Naib Ketua Puteri Umno Rosnah Abdul Rashid Shirlin, 36, berkata beliau menawarkan diri merebut jawatan nombor satu pergerakan itu untuk menyumbang kepada keutuhan parti dan mengembalikan keyakinan generasi muda terhadap Umno.

"Soal menang atau kalah bukan menjadi faktor utama yang mengatasi kepentingan parti, tetapi keutuhan kepentingan parti lebih bermakna untuk melakukan sesuatu yang bernilai dalam parti," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ketua Puteri Bahagian Papar di Sabah itu berkata rintihan dan pandangan generasi muda perlu diberi perhatian memandangkan bilangan besar pengundi muda yang bakal mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Adalah penting menggembleng tenaga untuk pembangunan generasi muda terutama peluang pekerjaan dan masalah sosial yang dihadapi mereka," katanya.

Ketua Penerangan Puteri Umno Datuk Shahaniza Shamsuddin, 38, berkata beliau akan memainkan peranan sebagai "kawan atau lawan" dalam memanfaatkan perjuangan Puteri Umno.

Katanya anggota Puteri harus memilih ketua yang boleh memberi sumbangan kepada pergerakan itu dengan melihat komitmen dan prestasi calon kepada pergerakan itu sebelum ini.

Setiausaha Pergerakan Puteri Umno Bibi Sharliza Mohd Khalid, 38, yang juga Ketua Puteri Bahagian Rembau berkata pemimpin terbaik adalah seorang yang mampu memberi komitmen sepenuhnya dan membimbing pergerakan itu.

"Walau siapa pun yang menang kelak, setiap ahli mesti terima dan bersatu kembali kerana yang dipilih adalah pemimpin terbaik yang dapat memperbaiki kepimpinan Umno untuk diterima oleh rakyat," katanya.

Bibi Sharliza berkata beliau akan meneruskan perjuangan asal seperti yang dilakukan Ketua Puteri Umno pertama iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said di samping meningkatkan bilangan anggota Puteri.

Exco Puteri Umno Datin Ismalina Ismail yang turut menawarkan diri untuk bertanding berkata perkara utama yang perlu dilakukan ialah memperkasakan Puteri Umno bagi memastikan pergerakan ini terus relevan dan mengembalikan keyakinan generasi muda terhadap Umno.

"Puteri Umno mempunyai kekuatan yang digeruni oleh pembangkang. Namun mereka memerlukan pelan dan strategi yang bersepadu bagi melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berintergriti dan inovatif," katanya.

Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, akan melepaskan jawatannya setelah melepasi had umur 40 tahun bagi jawatan ketua pergerakan itu. BERNAMA

Artikel Lain