suria

Najib gesa rakyat tolak pihak tidak hormati PM

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat negara ini supaya menolak sebarang kelakuan kurang ajar dan tidak sopan yang dilakukan pihak tertentu terhadap pemimpin negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan tidak mahu sikap seumpama itu menjadi amalan kerana jika dibiarkan, ia boleh menjejaskan perpaduan dan kestabilan negara.

Memberi contoh insiden kekecohan semasa rumah terbuka Hari Raya anjuran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anggota Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Rabu lepas, Najib berkata tindakan seumpama itu hanya merugikan negara.

"Jika ada pihak-pihak tertentu yang ada tujuan lain, tidak faham budaya bersopan-santun, kurang ajar dan tidak menghormati pemimpin, rakyat perlu menolak. Tindakan ini tidak boleh menjadi amalan," katanya.

Beliau yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sempena lawatan kerja sehari ke Terengganu, berkata demikian ketika berucap melancarkan kiraan detik Kejohanan Kuda Lasak FeiWorld Endurance (WEC) 2008 di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Rabu lepas, sekumpulan penyokong Hindu Rights Action Force (Hindraf) menimbulkan kekecohan pada majlis rumah terbuka Hari Raya itu.

Tanpa mempedulikan peraturan, mereka bertindak mendahului barisan pengunjung lain yang sudah pun beratur untuk memasuki dewan sejak pukul 10 pagi.

Menurut saksi yang melihat tindaktanduk mereka, kumpulan itu mula memotong barisan orang ramai menjelang tengah hari untuk menyerahkan patung beruang dan kad Hari Raya yang mereka dakwa mengandungi 300 tandatangan bagi mendesak pembebasan pemimpin Hindraf yang sedang menjalani tahanan.

Najib berkata tujuan kerajaan mengadakan rumah terbuka berkenaan adalah bagi membolehkan rakyat berjumpa dan berjabat tangan dengan pemimpin negara tanpa sebarang protokol.

Timbalan Perdana Menteri berkata amalan mengadakan rumah terbuka itu adalah budaya unik yang tidak pernah diadakan di mana-mana negara di dunia dan ia menunjukkan keamanan yang dikecapi rakyat di negara ini.

"Tidak pernah di negara lain, rakyat boleh berjumpa dengan pemimpin dengan begitu mudah. (Tetapi) nilai keamanan ini akan rosak, jika ada pihak tertentu yang ada tujuan lain. Nilai keamanan ini tidak boleh diketepikan," katanya.

Beliau berkata jika tindakan pihak tertentu itu terus dibiarkan, konsep rumah terbuka seumpama itu, mungkin tidak dapat diadakan pada masa hadapan dan ia sudah tentu merugikan.

Najib berkata sikap sopan-santun rakyat negara ini tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan ia tidak boleh sengaja diada-adakan.

"Sikap ini merupakan satu warisan dan legasi masyarakat Malaysia," katanya, sambil menambah bahawa imej dan budaya sopan-santun itu perlu dipaparkan kepada orang luar semasa berlangsungnya WEC 2008.

WEC 2008 yang dijangka melibatkan 150 penunggang dari 34 buah negara, akan berlangsung dari 6 hingga 9 Nov depan di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu. BERNAMA

Artikel Lain