suria

Muhyiddin minta bahagian beri 100 peratus sokongan pada Najib

BACHOK: Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua bahagian Umno supaya memberi pencalonan 100 peratus kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden parti bagi menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti Mac depan.

Gesaan itu dibuat bagi memastikan peralihan kuasa yang telah ditetapkan sebelum ini berjalan lancar, katanya kepada pemberita pada rumah terbuka Aidilfitri Timbalan Ketua Umno Bahagian Bachok Datuk Dr Illias Husin di Kampung Kuchelong di sini hari ini.

Muhyiddin, yang diramal bertanding jawatan Timbalan Presiden, bagaimanapun enggan mengesahkannya walaupun didesak oleh wartawan.

Katanya beliau akan membuat pengumuman esok "bagi mengambil berkat Jumaat".

"Kena ikut tertib. Semalam Perdana Menteri buat keputusan, hari ini saya dimaklumkan Datuk Seri Najib akan buat pengumuman, wajarnya saya tunggu giliran lepas itu," katanya.

Mengulas kenyataan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang tetap mahu bertanding jawatan Presiden Umno walaupun pelan peralihan kuasa dipercepatkan ke Mac depan dari Jun 2010, Muhyiddin berkata tiada halangan untuk Tengku Razaleigh berbuat demikian.

"Bagaimanapun kita serahkan kepada kebijaksanaan dia sebagai orang lama dan berpengalaman dalam parti. Saya fikir saya tak layak menasihati beliau, saya juga menghomati beliau, tapi saya fikir beliau akan mengambil kira semua perkara selepas keputusan Perdana Menteri semalam, yang berharap timbalannya (Najib) akan jadi pengganti.

"Tetapi ini tidak bermakna kita tak benarkan sesiapa bertanding, sesiapa saja yang berhasrat menawarkan diri, dia boleh bertanding, dia ada hak untuk bertanding, tapi akhirnya terserahlah kepada perwakilan yang akan buat keputusan," katanya.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Perlembagaan Umno, mengingatkan semua bahagian yang akan bersidang mulai esok supaya mengelak insiden yang boleh mencemar nama baik parti.

"Umno parti teras dalam negara yang perlu terus dipelihara. Peranan Umno besar, pemilihan kali ini bukan hanya memberi peluang memperbaiki kedudukan dalam parti tetapi juga untuk tingkatkan semula imej parti," katanya. BERNAMA

Artikel Lain