suria

Hari penentuan pemilihan Pemuda Wanita Gerakan esok

PETALING JAYA: Penentuan bagi kepimpinan penggal baru sayap Pemuda dan Wanita parti Gerakan Rakyat Malaysia(Gerakan) akan diketahui pada pemilihan yang bakal berlangsung esok. Lebih 600 perwakilan bagi Pemuda dan 948 perwakilan bagi Wanita parti itu akan hadir bagi mengundi calon pemimpin pilihan mereka pada pemilihan yang akan berlangsung bermula jam 9 pagi di Menara PGRM, Cheras.

Penamaan calon bagi jawatan-jawatan untuk kedua-dua sayap tersebut telah diadakan pada 3 Oktober lalu. Bagi jawatan Ketua Pemuda bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Timbalan Ketua Pemuda, Lim Si Pin; Ketua Pemuda Kedah, Tan Keng Liang dan Ketua Pemuda Negeri Sembilan, Chai Tek Loong.

Jawatan Ketua Pemuda kosong apabila penyandangnya, Datuk Mah Siew Keong tidak lagi layak memegang jawatan itu kerana telah melebihi had usia 45 tahun.

Sejak sayap Pemuda ditubuhkan pada tahun 1984, ini adalah kali pertama wujud pertandingan bagi jawatan tersebut. Sebelum ini, ia dimenangi tanpa bertanding. Si Pin yang juga anak kepada bekas Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik dalam manifestonya yang disokong oleh lapan Ketua Pemuda Negeri berazam mahu membina identiti baru dalam kepimpinan Pemuda iaitu keikhlasan dan peremajaan.

Bagi Chai, slogannya adalah mempercepatkan reformasi dan bergerak ke hadapan sementara Tan pula mahu berkhidmat untuk parti dan terus melindungi serta mendukung hak seluruh rakyat Malaysia.

Sementara itu, jawatan Timbalan Ketua Pemuda pula bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Ketua Pemuda Negeri Sembilan, Yong Yoon Kong dan Ketua Pemuda Pulau Pinang, Oh Tong Keong.

Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda pula menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Timbalan Setiausaha Pemuda Selangor, Stephen Doss Ahli Jawatankuasa Gerakan Selangor, S Vijaya Kumar; Ahli Jawatankuasa Pemuda Gerakan, Liang Teck Meng; Timbalan Setiausaha Pemuda Gerakan, Vincent Hooi Wy-Hon dan Ketua Biro Alam Sekitar Gerakan, David Ang Chin Tat.

Seramai 28 orang akan bertanding bagi 18 jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat termasuk Tan Kok Seong, Hng Chee Wey, Ong Yeok Leng, Cheow Woon San, Khor Hock Peng, Lian Eng Chye, Lee Kin Hong, Kuhan a/l Arasaratnam, Lau Hoi Keong, Lim Siong Min, Tan Yang Kuok, Lim Keh Ho, Cheng Yin Chet, Chong Chee Yen, Cheah Chee Kuan, Lai Kee Kong, Wan Sun Keong, Ou Kwee Hua, Liew Pok Boon, Khoo Kha Shin, Ong Teng Boon, Lau Hoe Chai, Ong Boon Hong, Tan Keit Hock, Chia Gim Tiong, Chang Shui Kiong, Ng Shyh Cherng dan Yap Chen Heng.

Bagi sayap Wanita pula, Datuk Tan Lian Hoe berjaya mengekalkan jawatannya buat penggal kedua.

Lian Hoe yang juga Ketua Wanita Gerakan Perak telah menyandang jawatan itu sejak 2005. "Saya berasa terharu dengan sokongan yang diberikan akar umbi apabila memenangi jawatan ini tanpa bertanding. Kemenangan ini bukan untuk dibanggakan sebaliknya akar umbi memberikan saya tanggungjawab yang perlu dilaksanakan untuk membawa sayap ini ke peringkat yang lebih tinggi," kata Timbalan Menteri Penerangan ketika ditemui selepas diumum pemenang jawatan tersebut pada 3 Oktober lalu.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Wanita pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Ketua Wanita Pulau Pinang, Ng Siew Lai dan Ketua Wanita Gerakan Cawangan Jalan Reko, Kajang, Ong Kim Suan. Jawatan Naib Ketua Wanita pula menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Ketua Wanita Negeri Sembilan, Chin Nyuk Chin; Ketua Wanita Melaka, Yong Fuei Moy; Ketua Wanita Kedah, Eng Gaik Hong dan Ketua Wanita Selangor, Azmar Md Ilias.

Selain itu, seramai 19 calon akan pertanding bagi merebut 18 jawatan Ahli Jawatankuasa Wanita Kebangsaan.

Sementara itu, pemilihan bagi badan induk Gerakan akan berlangsung pada Sabtu ini semasa Persidangan Perwakilan Kebangsaan parti tersebut di Menara PGRM.

Artikel Lain