suria

Dua biras mengaku tidak bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram

MELAKA: Dua orang biras yang juga rakan kongsi syarikat Hitech Objective Enterprise hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan pengubahan wang haram, masing-masing berjumlah lebih RM45 juta dan RM16 juta.

Mohd Riezuan Jalil, 28, menghadapi 162 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM45,026,063 manakala Basri Samsudin, 35, dengan 60 tuduhan sama berjumlah RM16,133,009.

Mohd Riezuan didakwa menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya untuk membayar pinjaman kereta jenis BMW 318i; bayaran pinjaman rumah berkembar dua tingkat di Taman Permatang Pasir Permai, Alai; bayaran deposit pembelian rumah kedai tiga tingkat di Taman Semabok Perdana, Semabok; bayaran bagi pembelian Restricted Mudharabah Sructured Investment CIMB Islamic Bank; dan bayaran pembelian sijil Floating Rate Negotiable Instrument of Deposit CIMB Bank Berhad.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di antaranya di Public Bank Berhad, Jalan Mutiara Melaka 2, Taman Mutiara Melaka Batu Berendam; di CIMB Bank Berhad Jalan Mutiara Melaka 2, Taman Mutiara Melaka Batu Berendam; Malayan Banking Berhad, Graha Peladang, Jalan Hang Tuah; dan Tactical Plus Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Malim Jaya di sini di antara 1 Okt 2006 dan 21 Feb 2008.

Basri pula didakwa menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya bagi bayaran pembelian Restricted Mudharabah Sructured Investment CIMB Islamic Bank; bayaran deposit pembelian kereta jenis BMW525 Sedan E60; pembelian sijil Floating Rate Negotiable Instrument of Deposit CIMB Bank Berhad; bayaran deposit pembelian rumah berkembar dua tingkat di Taman Permatang Pasir Permai,Alai; bayaran pembelian unit amanah HwangDBS Global Infrastructure Fund; dan bayaran pembelian unit amanah Mayban Income Trust Fund.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu, di antaranya di HSBC Bank Berhad, Jalan Hang Tuah; CIMB Bank Berhad, Jalan Mutiara Melaka 2, Taman Mutiara Melaka Batu Berendam; Malayan Banking Berhad, Graha Peladang, Jalan Hang Tuah; dan Seong Hoe Premium Motors Sdn Bhd, Jalan Semabok di antara 6 Feb 2007 dan 14 Dis 2007.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM1 juta atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Keduadua tertuduh yang juga pengarah syarikat itu turut menghadapi tuduhan di mahkamah sama kerana menerima deposit daripada pendeposit tanpa memegang suatu lesen yang sah mengikut Seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Mohd Riezuan dan Basri dari Felda Palong, Gemas, Negeri Sembilan masing-masing didakwa melakukan kesalahan itu di Naza Hotel, Jalan Tun Ali di sini, antara 13 September 2006 hingga 19 September 2007.

Tuduhan mengikut Seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 itu membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Hakim Zamri Bakar menetapkan 12 Nov ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM1 juta bagi kedua-dua kes dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan mereka diserahkan kepada mahkamah. BERNAMA

Artikel Lain