suria

Anwar tidak terkejut keputusan Abdullah berundur

KUALA LUMPUR:Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk berundur sebagai Perdana Menteri tahun depan dan tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno.

"Beliau (Abdullah) telah membayangkan perkara itu sebelum ini dan jelas sekali, beliau menerima tekanan dalam UMNO. Saya tidak fikir beliau mampu terus bertahan dalam keadaan seperti itu. Ini bukan isu peribadi. Ia melibatkan sistem.

"Ini bukan soal peribadi, soalnya ialah pemerintahan dan sistem sama ada peluang untuk membawa perubahan mengurus ekonomi dan keadaan gawat sekarang, soal rasuah dan penyalahgunaan kuasa, undangundang yang keras, masalah perpaduan kaum," katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Anwar, 61, menghadiri prosiding kes liwat melibatkan dirinya di Mahkamah Sesyen di sini bagi mendengar hujah pihak pembela dan pendakwa mengenai sah atau tidak sijil pemindahan yang ditandatangani Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Saya merayu kepada Abdullah ... agar sekurang-kurangnya melakukan perkara yang betul. Saya cadangkan, esok, bebaskan semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," kata beliau.BERNAMA

Artikel Lain