suria

Abdullah mahu selesai isu pertukaran agama dan kerumitan kahwin campur

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau mahu mencari jalan penyelesaian berhubung isu pertukaran agama dan kerumitan yang timbul kesan daripada perkahwinan campur di negara ini.

Katanya, beliau tidak nampak sebarang masalah untuk mencari penyelesaian terhadap isu yang pernah mencetuskan kontroversi itu.

"Insya Allah, kita akan cari penyelesaian. Dengan fikiran terbuka, kesederhanaan dan pemahaman tentang isu terlibat, saya tidak nampak sebarang masalah untuk mencari penyelesaian," katanya selepas merasmikan Institut Pengajian Kemajuan Islam (IAIS), di sini, hari ini.

Beliau berharap IAIS akan menyumbang dalam mencari jalan penyelesaian berhubung isu itu kerana tidak mahu terus ia menjadi wabak dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Abdullah berkata, dengan mengadakan dialog-dialog bagi membincangkan isu tersebut, beliau percaya perkara-perkara yang menimbulkan masalah seperti itu dapat sama-sama difahami dan seterusnya dapat diatasi.

"Sekurang-kurangnya kalau perkara itu susah sangat, ia dapat sama-sama difahami dan kita harap dapat mengambil langkah awal supaya tidak timbul sebarang masalah yang tidak diingini," katanya.

Dengan memberi contoh perkahwinan antara seorang lelaki yang memeluk Islam kerana berkahwin dengan wanita Islam, Abdullah berkata, masalah timbul apabila pihak lelaki tidak memberitahu isteri pertama dan anak-anaknya yang bukan Islam bahawa beliau telah memeluk Islam.

"Apabila beliau meninggal dunia, maka berlakulah apa yang kita panggil perebutan mayat. Yang isteri (beragama) Islam berkata suaminya Islam, yang bukan Islam pula kata bukan, jadi inilah satu perkara yang wajar untuk orang yang hendak kahwin maklumkan (sudah memeluk Islam) untuk mengelakkan masalah timbul," katanya.

Ditanya sama ada agensi yang sedia ada tidak efektif untuk menangani isu tersebut memandangkan ia melibatkan kefahaman terhadap Islam, Abdullah berkata, beliau tidak pasti dan ia berkemungkinan berpunca daripada pendekatan dan peraturan yang dilaksanakan.

"Oleh sebab kita ikhlas, kita nak buat sesuatu dengan mudah dengan memudahkan sesuatu tindakan yang diambil itu.

"(Seterusnya) Akan timbul pula nanti masalah yang berupa kekeliruan yang (kemudiannya) timbulkan pula masalah apabila dalam akhbar nanti dilaporkan sesuatu yang maklumatnya tidak cukup.

"Maka apa yang menjadi masalah individu sudah menjadi masalah kaum dan lebih merumitkan sudah dikaitkan dengan masalah undang-undang yang susah untuk diselesaikan," katanya.

Beliau berkata, adalah penting untuk semua pihak memikirkan perkara tersebut kerana sesuatu yang haram tidak boleh dihalalkan.

"Kadang-kadang orang bimbang bila kita tak bincang perkara-perkara ini, mereka terus menganggap ini akan menjadi perbincangan yang melanggar akidah maka itu jangan dibincang kalau melanggar akidah.

"Ada juga pihak yang memberi pandangan lain yang mungkin terlalu liberal dan menggemparkan pihak yang yang tidak boleh menerimanya dalam pemikiran mereka," katanya.

Justeru, kata Abdullah, apa yang penting adalah memahami isu sebenar dan dengan semangat kesederhanaan, beliau percaya terdapat penyelesaian untuk mengatasinya.

Dalam ucapannya, Abdullah berkata, walaupun kini kehidupan lebih mudah dihubungkan, namun perjuangan untuk hidup aman dengan mereka daripada budaya lain perlu diteruskan.

"Hal ini relevan untuk sebuah negara seperti Malaysia yang terus berhadapan cabaran baru dalam pengurusan dan mengimbangi jangkaan dalam sebuah masyarakat pelbagai budaya dan agama," katanya.

Beliau berkata, antara cabaran itu termasuk bagi mereka yang terbabit dengan penukaran agama, tempat ibadat dan kahwin campur. "Dalam menyelesaikan isu yang sukar seperti itu, kita perlu pergi kepada asas nilai-nilai Islam mengenai kehakiman, taat kepada agama dan perasaan belas kasihan

"Ulama dan ahli teologi mestilah memegang nilai-nilai ini dalam suruhan mereka, sementara hakim-hakim dan peguam-peguam kita mestilah menyampaikan ini dalam pentadbiran undang-undang mereka.

"Kita tidak boleh mengambil mudah bahawa masalah ini akan ditangani akhirnya. Bagaimanapun, kita tentu boleh memulakan usaha untuk mencari penyelesaian konkrit bagi cabaran-cabaran tersebut" katanya.

Artikel Lain